Negeri

Pelajar sekolah agama bukan kerajaan perlu ada SPM, Vokasional

PARA pelajar sekolah agama bukan kerajaan di negeri ini mestilah mempunyai sijil pendidikan yang diiktiraf seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk aliran akademik atau Sijil Kemahiran Vokasional.

Sehubungan itu, pelajar-pelajar tahfiz terutamanya disarankan supaya mengikuti program intervensi Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk menduduki SPM atau mengikuti program TVET yang telah ditawarkan oleh pelbagai institusi kemahiran dalam negeri ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyantuni asnaf semasa mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kota Kayang, Kangar.

Bagi kesinambungan pengajian Islam di peringkat pendidikan tinggi pula, adalah disarankan agar para pelajar ini menyambung pengajian ke Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) yang akan mula beroperasi dalam tempoh sedikit masa lagi bagi pengajian di dalam negeri ini.

Untuk pengajian di luar negara pula, selain Mesir dan Jordan, penerokaan kerjasama bagi penghantaran pelajar ke timur tengah di negara baharu seperti Algeria dan Tunisia hendaklah diwujudkan dan diusahakan sebagai suatu peluang baharu khususnya kepada Sekolah-sekolah Islam Perlis yang berdaftar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyantuni asnaf semasa mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kota Kayang, Kangar.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kota Kayang dekat Kangar baru-baru ini.

Kayuhan amal sejauh 15 kilometer ini merupakan aktiviti mingguan yang bertujuan untuk menyampaikan dan menyantuni asnaf dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyantuni salah seorang asnaf semasa mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kota Kayang, Kangar

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyantuni dan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada Che Ramzam Che Loh, 55 dari Kampung Bangsal Lebah, serta Arshad Che Hamid, 58 dan Zainol Abidin, 61 dari Kampung Baru Tok Kuning.

Para asnaf yang terpilih pada edisi kali Ini menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli beserta beras Fidyah setiap seorang.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan masuk ke Rumah Hijau yang merupakan lokasi yang disinggah semasa mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kota Kayang, Kangar.

Baginda turut berkenan untuk singgah mengadakan lawatan ke Muzium Kota Kayang yang merupakan kompleks sejarah terkenal di Perlis dan menawarkan pelbagai maklumat mengenai sejarah Perlis menerusi tiga buah ruang utama iaitu Galeri Arkeologi, Galeri Sejarah dan Galeri Senjata.

Turut dilawati oleh Tuanku Raja Muda ialah Rumah Hijau yang merupakan lokasi di mana Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diputerakan pada 17 Mei 1943 yang baru sahaja dibaikpulih dan dipindahkan dari Arau ke tapak baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bergambar kenangan di hadapan Rumah Hijau yang merupakan lokasi disinggah semasa mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kota Kayang, Kangar.

Ia akan dibuka untuk kunjungan orangramai apabila hiasan dalamannya diisi kelak.

Secara tidak langsung Rumah Hijau ini akan menjadi satu lagi tarikan baru sempena ‘Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025. – SM

(Visited 27 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button