Nasional

Polis akan panggil wartawan Al Jazeera

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil wartawan AL Jazeera berhubung dokumentari yang melaporkan dakwaan palsu serta memburukkan Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan kertas siasatan telah dibuka berkaitan laporan dokumentari yang telah mengemparkan negara berikutan mempunyai niat untuk memburukkan imej Malaysia.

Jelas Abdul Hamid, polis telah menerima beberapa laporan polis mengenai dokumentari tersebut dan PDRM membuka kertas siasatan berdasarkan laporan yang mereka terima.

“Kita akan panggil pihak Al-Jazeera dan wartawan’. Mereka akan dipanggil untuk menjawab beberapa persoalan secara rasminya kertas siasatan telah dibuka kerana ada beberapa laporan yang kami terima.

“Akan dipanggil dalam masa terdekat, lagi cepat kita selesaikan lagi bagus,” katanya kepada media selepas menghadiri pelancaran Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (BANCI 2020), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelas Abdul Hamid, beberapa undang-undang bawah kanun keseksaan bawah Akta Hasutan juga akan dilihat berkaitan laporan itu.

Dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat  melaporan layanan yang diterima oleh pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

Laporan itu turut mengundang kemarahan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Ismail Sabri yang mencabar agar AL Jazeera menamakan negara yang melayan PATI dengan baik.

“Tuduhan kita mengurung pendatang asing tanpa izin (Pati) juga tidak benar kerana Maahad Tahfiz, perkampungan di Hulu Langat juga dikenakan perintah berkurung.

“Kita boleh tanya Al Jazeera ini, berikan kita mana-mana negara yang berikan kebebasan mutlak kepada warga asing yang tidak ada dokumen.

“Jawapannya tidak ada kerana semua negara ada akta yang hampir sama dan semua warga asing yang masuk kena ada dokumen yang sah.

“Saya cabar Al Jazeera tunjukkan mana-mana negara yang berikan kebebasan mutlak kepada mereka yang tidak ada dokumen,” katanya dalam sidang media PKPP di Putrajaya semalam.

Ismail Sabri berkata, laporan bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat itu juga tidak tepat sama sekali, serta terpesong daripada keadaan sebenar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor Mansion.-SM

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button