Luar Negara

Harimau Malaya maut selepas gigit lengan pekerja Zoo Florida

SEEKOR harimau Malaya di sebuah Zoo Florida, AS, telah ditembak mati selepas menggigit seorang tukang cuci yang meletakkan lengannya melalui pagar kandang harimau itu.

Menurut laporan Sky News, harimau Malaya itu dikenali sebagai Eko dan berusia lapan tahun.

Eko ditemui oleh seorang petugas sedang menggigit lengan tukang cuci dan kejadian dilaporkan berlaku Rabu lalu.

Seorang pegawai sheriff cuba membuat harimau melepaskan tukang cuci itu, namun dia gagal dan akhirnya menembak Eko.

Selepas ditembak, Eko berundur dan dibius dengan segera oleh doktor haiwan supaya dapat memeriksa keadaan Eko dengan selamat.


Namun begitu, haiwan Malaya itu diumumkan mati sejurus pemeriksaan dibuat.

NBC News melaporkan bahawa tukang cuci itu adalah seorang lelaki yang berusia 20-an mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital.

Mangsa adalah seorang pekerja daripada perkhidmatan pembersihan pihak ketiga dan bekerja untuk membersihkan tandas dan kedai cenderamata.

Selepas disiasat, mangsa tidak sepatutnya berada di kawasan zoo lebih-lebih lagi berada berdekatan sangkar harimau itu.

Pejabat Sheriff Collier County melaporkan bahawa tukang cuci itu kelihatan melintasi pagar dan menambah kemungkinan bahawa dia ingin memberi makan haiwan itu.

Menurut laman web Zoo Naples, Eko tiba di Zoo Naples sekitar dua tahun yang lalu.

Harimau Malaya diklasifikasikan sebagai haiwan yang sangat terancam dan berada dalam senarai ‘Red List’ spesies terancam di bawah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi. – SM

(Visited 107 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button