Politik

Anwar tidak angkat sumpah sebagai PM esok

POSTER Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 di Istana Negara esok menggunakan logo rasmi Angkatan Muda Keadilan  (AMK) Malaysia adalah palsu.

Justeru, Setiausaha AMK Malaysia Ahmad Syukri Razab meminta semua pihak agar tidak menyebarkan poster berkenaan.

Menurut Ahmad Syukri, poster tersebut mungkin dihasilkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mengganggu proses perubahan Kerajaan Persekutuan yang didakwa sedang berjalan.

“Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengambil maklum mengenai penyebaran sebuah poster mengenai Upacara Mengangkat Sumpah Perdana Menteri ke 9 yang menggunakan logo dengan tulisan ‘AMK’.

“Sila ambil maklum bahawa poster tersebut adalah palsu dan logo yang digunakan bukan logo rasmi AMK Malaysia,” kata Ahmad Syukri.

Katanya, AMK menjunjung penuh kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dalam memutuskan isu pemilihan perdana menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berjaya memperolehi majoriti selesa bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Poster itu tersebar selepas Anwar mengumumkan memperolehi sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen semalam.

Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Menurutnya, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Katanya, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11 pagi Selasa lalu, namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Alhamdulillah. Kini saya mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan ingin saya nyatakan, majoriti yang menyokong juga adalah dalam kalangan Melayu dan Islam.

“Secara konklusifnya, (jumlah majoriti) kuat dan kukuh. Saya tidak bercakap mengenai empat, lima, enam (Ahli Parlimen) tapi lebih daripada itu.

“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas menghadap Agong dalam masa terdekat, insya-Allah,” katanya.-SM

(Visited 871 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button