Nasional

Hari-hari terakhir blok pembangkang…benarkah?

Analisis

RUNDINGAN membentuk pakatan baharu atau istilahnya kerajaan baharu dengan pembangkang melalui pintu belakang?

Tidak pasti sejauh mana benarnya cerita ini. Tetapi dalam dua minggu lepas, Suara Merdeka dikhabarkan `kuat benar’ ura-uranya Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun tidak lama tempohnya berjawatan ketua pembangkang.

Izinkan Suara Merdeka mengimbas kisah masa lalu. Suatu ketika pada 1986, Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah menggubal undang-undang anti lompat parti melarang mana-mana wakil rakyatnya daripada bertukar parti atau wajib mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

Tetapi undang-undang yang dibuat oleh parti itu dicabar di mahkamah. Dan akhirnya Mahkamah Tinggi mengisytiharkan undang-undang itu melanggar Perlembagaan. Kesannya, amalan lompat parti kembali muncul dalam politik Sabah dengan PBS sendiri menjadi mangsanya.

Ini apabila kerajaan yang di­pimpinnya jatuh tidak lama selepas pilihan raya negeri 1994. Tindakan keluar beramai-ramai wakil rakyatnya yang kemudian menubuhkan parti-parti baharu dan menyertai Barisan Nasional (BN) akhirnya menyaksikan BN mengambil alih kerajaan PBS.

LOMPAT PARTI

Pada 1959, Kerajaan Pas Terengganu yang dibentuk tidak dapat bertahan lama kerana pada 30 Oktober 1961, Perikatan telah membawa usul undi tidak percaya dan disokong oleh tiga ADUN Parti Negara.

Di Sarawak pada 1966 dan Perak (2009), mandat rakyat juga tidak dihormati.

Sukar sekali mahu mengekang tindak tanduk lompat parti ini.

Keputusan Mahkamah Agung kira-kira tiga dekad lalu menyebabkan parti-parti politik hari ini sukar memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi jika memilih meninggalkan parti.

Dalam kes pada 1992 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan lawan Nordin Salleh, Mahkamah Agung diketuai Tun Hamid Omar telah menegakkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Eusoffe Chin untuk membatalkan peruntukan Perlembagaan Kelantan yang mewajibkan pilihan raya kecil sekiranya seseorang ADUN
meninggalkan parti.

Dengan itu diputuskan bahawa peraturan Pas yang menghalang Nordin, bekas wakil rakyatnya melompat parti, melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan.

Maka membawalah hingga hari ini sebarang langkah untuk parti politik memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi adalah tindakan tidak mengikut Perlembagaan walaupun terdapat perjanjian antara parti politik dan wakil rakyat itu sebelum ini.

SIAPA MAKAN CILI?

Katak kuning melompat jauh
Katak puru lompatnya payah
Tersalah landing pasti jatuh
Muka tak malu buat tak kisah.

Katanya katak memanggil hujan
Lompat ke kanan lompat ke kiri
Sebenarnya katak panggil teman
Mungkinkan sudah tahu habuan menanti?

Pantun `lompat si katak lompat’ kah? Siapa makan cili, terasalah pedasnya.

Cuma kalau dibawa senario politik semasa hari ini, ada titik noktahkah si pelaku lompat parti?

Maka kaedah untuk keluar daripada masalah lompat parti ini adalah menyemak semula keputusan Mahkamah Agung pada 1992. Dan meyakinkan Mahkamah Persekutuan pada ketika ini bahawa keputusan tersebut tidak baik untuk kepentingan orang awam.

Satu cara lagi adalah dengan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menghukum seseorang yang lompat parti dengan mengosongkan kerusi itu secara automatik dan mengadakan pilihan raya kecil.

Dalam isu ini, Parlimen perlu meminda Perlembagaan terlebih dahulu sebelum DUN boleh mengadakan undang-undang anti lompat parti. Dan mahkamah mesti diyakinkan keputusan sebelum ini tidak baik dan bercanggah dengan prinsip demokrasi.

MAJORITI MENGECIL?

Di sebalik itu, budaya politik lompat parti ada kebaikan dan keburukannya. Ia suatu strategi politik untuk mengimbangi kuasa – sama ada untuk memihak atau menentang parti pemerintah.

Hakikatnya, lompat parti ber­erti berpaling tadah – mulanya menyokong sesebuah parti politik dan kemudian sokongan itu bertukar arah. Lebih parah lagi, menentang parti asal.

Perkembangan itu sememang­nya membimbangkan kerana sekiranya ramai ahli parti bertukar arah, maka dibimbangi jumlah majoriti mengecil atau langsung hilang.

Akibatnya, sesebuah parti politik itu akan hilang jumlah majoriti, yang seterusnya mengakibatkan kehilangan mandat atau kepercayaan di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri.

Tindakan lompat parti setelah memenangi pilihan raya bukanlah sesuatu yang sihat dan patut disokong. Seseorang yang telah dipilih oleh rakyat bukan semuanya atas kapasiti individu tersebut, tetapi sebahagian besar memenangi kerusi tersebut atas kepercayaan atau mandat rakyat terhadap parti politik yang diwakilinya.

Tiket yang diberikan oleh rakyat untuk mewakili mereka tidak harus dipindah milik secara sewenang-wenangnya tanpa persetujuan rakyat.

Pik tong tong kelamai jagung
Di galah-galah cembung besi
Ya, tak ya kata si-Embong
Bila kalah orang pun lari.

Mana dia berus mengkuang

Ada di dulang atas para
Kenapa kita harus berjuang
Kerana agama, bangsa dan negara.

Pokok langsat di hujung dahan
Helang terbang ke pengkalan Kok sesat di hujung jalan. Pulanglah ke pangkal jalan. – SM

(Visited 244 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button