BeritaRencah Hidup

Harga sebuah kemerdekaan

SEEKOR anjing liar, terserempak dengan anjing peliharaan ketika bersiar-siar di sebuah taman. Anjing peliharaan walaupun dibelenggu lehernya, tetapi kelihatan hidup dengan baik kerana sering dimandikan, diberi makanan berkhasiat, dibawa ke pemeriksaan veterinar dan dibelai tuannya.

Anjing liar badannya penuh dengan kutu dan sesekali dia tergaru-garu dan mengigit badannya bagi menghilang rasa gatal dek gigitan kutu yang mahu menghisap darahnya.

Sosok tubuhnya kurus dan dipenuhi tompok-tompok kurap. Pastinya tidak ada yang mahu membelainya bahkan akan diusir kerana khuatir akan menyebar penyakit.

Lantas anjing peliharaan memujuk supaya anjing liar tinggal bersamanya dan hidup dengan lebih selesa dan teratur.

Bagaimanapun tanpa berfikir panjang anjing liar menolak pelawaan itu dan memilih untuk hidup bebas merdeka.

Begitulah hidup seorang wartawan. Sering kali juga dilayan seperti anjing yang dicampak tulang makan beramai-ramai media akan menyalak. Isu lunak yang diumpan orang politik mudah memerangkap atau memerdayakan wartawan.

Wartawan pada dasarnya sukar untuk hidup tanpa dibelenggu. Mereka sama ada dibelenggu oleh parti politik, kerajaan atau pihak kapitalis.

Lantas apabila Utusan Malaysia gulung tikar kami segelintir kecil wartawan memilih untuk membina portal berita sendiri dan bekerja atas dasar sukarela.

Memang kami tidak bergaya dan tidak gengsi sebagaimana ketika bertugas di media arus perdana. Kami diusung ke sana dan sini hingga ke luar negara demi liputan yang sangat berharga.

Kami dijulang dengan pelbagai anugerah, jamuan makan dan hadiah demi jalinan hubungan memudahkan urusan liputan.

Tetapi bila bergerak menggunakan portal sendiri, kami tidak mampu walaupun untuk ke Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pun kerana sebelum syarikat kami bernaung sebelum ini gulung tikar, gaji kami tidak dibayar selama dua bulan. Dan hampir setahun juga gaji kami tidak dibayar dengan sempurna. Kadangkala gaji dibayar tidak sampai separuh dan memang tidak pernah tepat waktu.

Faedah lain janganlah ditanya, semua lesap begitu sahaja. Namun kami terus bertahan demi mempertahankan Utusan Malaysia yang kami anggap wadah perjuangan yang diwariskan oleh orang terdahulu yang mengambil amanah daripada orang Melayu yang mahu memerdekakan bangsa mereka.

Lantaran itu kami hampir terlantar kerana simpanan juga semakin tipis. Kini kami hidup dengan melakukan apa juga kerja yang menghasilkan rezeki yang halal. Namun kami tetap berusaha walaupun kini kami ibarat anjing kurap, tetapi hidup lebih bermakna. Kami bebas menulis tanpa menunggu wahyu dari pihak yang membelenggu kami.

Kami hanya ada makcik google dan bukan sugar dady yang memberi pendapatan kepada kami. Kami berusaha memaparkan sebanyak mungkin berita dan dengan iklan google yang tidak seberapa dapatlah kami berkongsi sedikit pendapatan.

Untuk meneruskan kelansungan hidup kami melakukan kerja-kerja lain. Jadi sokongan dari pembaca untuk berkongsi bahan berita kami termasuk menyokong kami di media sosial seperti facebook, twitter, instagram dan youtube dapat membantu kami terus memaparkan berita secara bebas.

Kami tidak mengisytiharkan diri sebagai media bebas, kerana kebebasan mutlak memang tidak wujud di dunia ini, tetapi kami menulis mengikut minat dan fahaman kami masing-masing tanpa disekat, diarah atau dibelenggu sesiapa.

Jika kehadiran kami dianggap tidak ubah seperti anjing kurap sahaja, tidak mengapa. Sekurang-kurangnya kami berusaha memerdekan pemikiran dan kehidupan orang Melayu daripada terus ditekan dan diperkotak-katikkan orang lain.

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button