Nasional

Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis titah Selamat Menyambut Aidilfitri

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid menitahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat negeri Perlis serta semua kerabat DiRaja serta rakan taulan di mana sahaja mereka berada.

Baginda berdua juga mengajak semua untuk terus menerus mendoakan semoga wabak COVID-19 ini akan segera diatasi dan seluruh rakyat sentiasa dikurniakan kesihatan dan perlindungan keselamatan oleh Allah SWT”.

Pada petang semalam baginda berdua berkenan berangkat meluangkan masa menghadiri majlis santapan di Istana Arau bersama-sama dengan seisi kerabat diraja terdekat bersempena Aidilfitri.

Sambutan Lebaran pada kali ini sesungguhnya berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya dengan melibatkan keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda baginda berdua, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail sahaja.

Terdahulu daripada itu Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Istana Fauzana Kangar manakala Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda beserta anakanda-anakanda pula di Istana Arau.

Demikian menurut kenyataan Istana Arau.

Pada tahun ini tiada majlis sambutan Istana Terbuka pada Hari Raya Pertama seperti kelazimannya diadakan di Dataran Majlis Istana Arau yang sudah menjadi lokasi tumpuan tradisi ribuan rakyat jelata negeri ini sejurus selepas solat sunat Aidilfitri di masjid masing-masing untuk berhimpun bertemu sahabat handai khususnya bagi anak-anak Perlis yang pulang dari perantauan berikutan penularan wabak COVID-19 yang masih belum dapat dibendung sepenuhnya lagi.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan berbanyak terima kasih kepada semua pihak dan individu yang mempersembahkan ucapan dan juga bingkisan Aidilfitri kepada baginda seisi usrah kerabat diraja melalui pelbagai medium yang tidak dapat dijawab dan juga dibalas satu persatu. – SM

(Visited 679 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button