Nasional

Harga Insentif Pengeluaran Getah (IPG) akan dikaji semula – Ismail Sabri

Harga pasaran getah yang ditetapkan untuk Insentif Pengeluaran Getah (IPG) akan dikaji semula sekiranya beliau kembali menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, beliau menyedari banyak pihak meminta harga pasaran getah yang sebelum ini ditetapkan RM2.50 sekilogram melalui IPG dinaikkan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Pekebun Kecil Keluarga Sejahtera Malaysia anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di sini pada Ahad (30 Okt), yang turut dihadiri Pengerusi Risda Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.


“Datuk Seri Salim juga membangkitkan isu itu di Parlimen. Saya lihat ramai yang meminta kadar RM2.50 (sekilogram) dinaikkan, saya juga telah berbincang dengan Menteri Kewangan. Kita akan meneliti perkara ini, Insya- Allah, kalau kita diberi mandat untuk mentadbir semula, kita akan meneliti perkara ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar betapa pentingnya sektor perladangan getah untuk meningkatkan ekonomi negara dan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif serta bantuan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Malah, katanya getah merupakan satu-satunya komoditi yang masih diberi bantuan penuh oleh kerajaan.

Selain IPG, beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan program tanam semula getah dengan keluasan sasaran 20,000 hektar, yang kini melebihi 10,000 hektar dengan penyertaan 7,180 pekebun kecil.

Sementara itu, bagi meningkatkan pendapatan melalui produktiviti keluaran getah, beliau berkata kerajaan memperkenalkan skim insentif produktiviti getah (SIPG) membabitkan peruntukan RM31.1 juta bagi mencapai pengeluaran tahunan sebanyak 1,800kg sehektar.

“Alhamdulillah, inisiatif itu telah digunakan oleh 29,205 pekebun kecil di seluruh negara, termasuk 4,344 pekebun kecil di Pahang dan sejumlah 602 di Bera,” katanya.

Menurutnya, Risda setakat ini berjaya melahirkan seramai 23,522 usahawan di seluruh negara menerusi bantuan berjumlah RM56.3 juta.

“Justeru, peluang menjadi pekebun kecil Risda sentiasa terbuka luas setiap tahun kerana kerajaan melalui Risda menyediakan pelbagai inisiatif untuk mempelbagaikan sumber pendapatan dan pembangunan modal insan untuk seluruh keluarga pekebun kecil,” katanya.

Mengenai Bantuan Monsun (BMT) berjumlah RM191 juta yang diumumkan sebelum ini, Ismail Sabri berkata semua pekebun kecil akan menerima bantuan RM600 yang akan diagihkan secara berperingkat iaitu RM300 pada November dan RM300 lagi pada Disember.

Perdana Menteri berkata, bantuan itu turut diumumkan dalam Bajet 2023 dinaikkan RM200 kepada RM800 dengan peruntukan RM256 juta untuk empat bulan kepada 320,000 penerima daripada Risda dan Felda.

“Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan yang lebih besar kepada masyarakat pekebun kecil iaitu peningkatan sebanyak 18.1 peratus berjumlah RM600 juta berbanding RM508 juta yang diperuntukkan tahun ini.

“Peruntukan ini membuktikan kerajaan amat prihatin terhadap pembangunan sektor komoditi getah yang melibatkan pekebun kecil bagi mencapai sasaran pendapatan bulanan pekebun kecil kepada RM4,500 pada 2025,” katanya.

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button