Jenayah

Wanita mohon maaf palsukan Sambal Nyet Berapi Khairulaming

SEORANG wanita tampil memohon maaf Chef selebriti media sosial, Khairul Amin Kamarulzaman, 29 atau Khairulaming kerana memalsukan Sambal Nyet Berapi keluarannya.

Wanita itu menemui Khairulaming hari ini selepas chef  selebriti itu membuat laporan polis dan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap penciplak Sambal Nyet Berapi keluarannya.

Khairulaming berkongsi permohonan maaf wanita itu di media sosialnya sebentar tadi.

“Assalamualaikum saya Mastura Alia sayalah orang yang bertanggungjawab terhadap Sambal Nyet yang bukan original. Baru-baru ini banyak kes sambal basi sudah tentu bukan daripada Khairulaming tetapi dibuat oleh saya.

“Oleh itu saya mahu membuat permohonan maaf yang sebenar-benarnya kepada pemilik Sambal Nyet yang sebenar iaitu Khairulaming dan juga mereka-mereka yang terpedaya,” kata wanita tersebut.

Menurut Mastura Alia, perkara tersebut menjadi pengajaran kepada dirinya dan berikrar tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang dia lakukan.

Mastura Alia turut pergi ke Balai Polis Damansara tempat Khairulamning membuat laporan untuk membuat pengakuan bertulis.

Sementara itu Khairulaming berkata, dia menuntut pampasan tunai daripada wanita berkenaan.

“Selepas issue Sambal Nyet palsu ni dAh naik semalam (thanks for sharing guys), she finally admitted her mistake and came forward pagi tadi. Tapi aku taknak benda ni settle senang-senang macam tu je walaupun datang dengan air mata.

“Tapi duit ni aku takkan refund balik kepada pembeli sebab proses refund ni tak mudah dan aku nak buyers untuk take accountability jugak.

“Oleh itu 100 peratus duit ini aku akan sedekah kat asnaf yang memerlukan di bulan puasa ni. Aku tak akan ambil satu sen pun,” katanya.

Sebelum ini ramai pelanggan merungut kepada Khairulaming kerana Sambal Nyet Berapi yang mereka beli telah basi, bekas pecah dan berair.

Khairulaming menafikan sambal tersebut dikeluarkan olehnya dan telah meminta kawannya menyamar dengan membeli sambal tersebut untuk menyiasat secara terperinci.

“Saya boleh tunjuk bukti beberapa sebab yang menjelaskan ia bukan sambal keluaran saya.

“Logo yang difotostat, ‘font’ kandungan yang sangat ‘blur’, tekstur sambal yang berbeza (ada minyak hitam) dan bau macam minyak goreng ikan,” katanya menerusi rakaman video berdurasi lebih tujuh minit di Instagramnya pada Rabu.-SM

(Visited 1,251 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button