Nasional

Semua penjawat awam diarah lengkapkan program pembelajaran kendiri “AI untuk Rakyat”

SEMUA penjawat awam di peringkat persekutuan dan negeri telah diarahkan untuk mengambil bahagian dan melengkapkan program pembelajaran dalam talian pembelajaran kendiri “AI untuk Rakyat” yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Arahan itu dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi pekeliling bertarikh 17 Jan lepas yang dikongsi di akaun Facebook rasmi jabatan itu hari ini.

Pekeliling itu dikeluarkan kepada ketua setiausaha semua kementerian, semua ketua jabatan di peringkat persekutuan, setiausaha kerajaan negeri serta ketua-ketua semua badan berkanun di peringkat kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan.

“Semua penjawat awam di kementerian/jabatan/agensi di peringkat persekutuan, di negeri-negeri serta badan berkanun di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan dikehendaki melengkapkan program pembelajaran bagi mendapatkan lencana AI Aware dan AI Appreciate.

“Ini bagi memastikan peningkatan kesedaran dalam kalangan penjawat awam mengenai penggunaan teknologi canggih.

“Penyertaan penjawat awam dalam program AI untuk Rakyat akan membolehkan kerajaan mencapai pelaksanaan inisiatif pendigitalan dalam perkhidmatan penyampaian awam,” katanya.

Wan Dahlan bagaimanapun tidak menetapkan tarikh akhir bila penjawat awam diwajibkan melengkapkan program itu dalam pekeliling berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata kemajuan penyertaan dalam program itu akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi.

Dilancarkan oleh Anwar pada 16 Jan, program pembelajaran kendiri dalam talian itu merupakan kerjasama antara MyDigital Corporation dan Intel Corporation.

Program yang boleh diakses melalui www.ai.gov.my dan boleh didapati dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu AI Aware dan AI Appreciate yang boleh disiapkan dalam masa kira-kira empat jam.

Ketika melancarkan program itu, Anwar memberi tempoh sehingga bulan depan kepada anggota Kabinet untuk mengemukakan laporan berkaitan kemajuan dalam meningkatkan kesedaran dan literasi AI di kementerian masing-masing.

Anwar turut mengenakan syarat sama kepada ketua setiausaha, ketua pengarah di semua kementerian serta semua naib canselor institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Ini berikutan sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan untuk mempunyai satu juta penduduk di negara ini yang celik AI mengikut tahun. -SM

Baca : Tambah kerusi bandar dalam persempadanan Sarawak, SPR diberitahu

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button