Nasional

Hapuskan ketidakseimbangan akses kemudahan kesihatan – Raja Muda Perlis

Sempena Hari Kesihatan Sedunia 2021 yang bertemakan “Building A Fairer, Healthier World” pada tahun ini, marilah kita bersama-sama memastikan sebarang ketidakseimbangan dihapuskan dalam mendapatkan akses serta peluang yang sama terhadap perkhidmatan kesihatan tanpa mengira jantina, bangsa, agama, fahaman politik serta keadaan sosio-ekonomi individu. Matlamat utama kempen ini adalah untuk semua orang mendapat peluang yang sama untuk hidup sihat.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri sambutan Hari Kesihatan Sedunia peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ) Kangar Perlis.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Masjid berkenaan.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Mohd Chan Group merangkap Bendahari Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan, Datuk Muhammad Nik Chan Muhammad Chan,
Pengarah Urusan Shamma World Services Datuk Nagarajan a/l Perumal dan Pengurus Operasi Mohd Chan Group, Chan Chen Hooi.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, selain daripada perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan utama lain seperti pendidikan, bekalan air bersih dan bekalan elektrik juga menunjukkan yang semua rakyat diberi peluang sama rata untuk akses kepada kemudahan-kemudahan ini.

Sementara itu, dalam perkara yang berkaitan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim menambah bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan oleh pihak kerajaan yang mana semua rakyat diberi peluang untuk memperolehi vaksin secara percuma membuktikan bahawa semua rakyat negara ini diberi peluang sama rata bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia dilindungi daripada jangkitan Covid-19. Program ini bermatlamat ke arah masyarakat Malaysia yang sihat. Lindung Diri, Lindung Semua.

Untuk rekod, Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun. Setiap sambutan yang diadakan mempunyai tema berbeza bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu semasa kesihatan global.

Di majlis yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan bantuan agihan zakat MAIPs dan juga pek makanan sumbangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Perlindungan dan Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (YPKPJM) kepada seramai 30 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah masjid itu. Baginda turut berkenan menyaksikan penyerahan 1,000 ‘packed food’ untuk berbuka puasa sumbangan Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan kepada asnaf terpilih di beberapa buah masjid yang diagihkan melalui amil masing-masing yang datang mengambilnya.

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button