Nasional

Hapus sikap egoistik, individualistik – Raja Muda Perlis

Bagi membina tamadun dan negara yang berjaya, kita harus melahirkan bangsa yang berakhlak serta membasmi sifat egoistik dan individualistik di dalam masyarakat. Sebahagian individu hanya disibukkan dengan cita-cita peribadi serta melupakan penyakit-penyakit yang dideritai masyarakat umum di sekitarnya. Namun, Islam hadir sebagai agama yang sentiasa menyucikan jiwa, mempromosikan keindahan perilaku, kecerdasan, keramahan dan kelapangan dada.

Selain itu, takwa pula dapat disimpulkan di sini bukan bererti hanya mengerjakan solat atau puasa, menjauhi riba atau khianat semata, bahkan lebih daripada itu. Takwa merupakan disiplin diri untuk berani bersikap baik dalam ibadah, muamalah dan pelbagai perilaku di dalam kehidupan. Oleh itu, kesalahan lisan bukan hanya dilakukan manusia biasa, bahkan turut dilakukan oleh ahli agama. Akhirnya mereka juga semakin jauh dan terlena dengan diri sendiri.

Ironisnya, mereka yang mengaku taat beragama, hendaklah berpegang dengan Manhaj Ahli Sunnah dan menjauhi pegangan selain dengannya. Apabila rakyat berpegang dengan Manhaj Ahli Sunnah maka akan lahirlah sebuah Kesatuan Ummah.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Wacana Jamalullail : Kedudukan Istimewa Manhaj Ahli Sunah Waljamaah dalam Perlembagaan Negeri Perlis’ yang diadakan di Auditorium Dr Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Kangar pada petang tadi.

Keberangkatan tiba baginda ke program yang dianjurkan melalui kerjasama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis Dr Sirajuddin Hashim.

Hadir sama dari DBP ialah Ketua Pengarahnya, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran yang menyampaikan pengenalan buku ‘Kedudukan Istimewa Manhaj Ahli Sunnah Waljamaah dalam Perlembagaan Negeri Perlis’ dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Datuk Padilah Haji Ali.

Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs menegaskan bahawa antara sunnah Rasulullah Salallahualihi Wasallam ialah jamaah kerana sunnah adalah asas jamaah dan jamaah adalah cara perjalanan sunnah yang sempurna. Dan ingatlah bahawa, hanya “sunnah” sahaja, sama ada isi mahupun caranya dapat menguatkan “jamaah”.

Wacana tersebut yang disekalikan dengan 2 Dekad Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Raja Perlis dan 2 Dasawarsa Pemahsyuran Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Raja Muda Perlis dimoderatorkan oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs, Ustaz Mohd Rizal Azizan bersama dua orang ahli panel undangan iaitu Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-Undang COLGIS Universiti Utara Malaysia, Dr Mukhriz Mat Rus dan Pengarah JAIPs, Dr Hazman Hassan. – SM

(Visited 595 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button