Nasional

Keletah cucu PM curi tumpuan

Keletah dan perwatakan bersahaja cucu Perdana Menteri, Jeanelle Nika Mandagie ketika menemani datuknya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2021 di bangunan Parlimen, petang tadi mencuri tumpuan lensa kamera.

Tidak kekok menyusun langkah meskipun gerak-gerinya sentiasa dirakamkan kamera, Jeanelle, 4, kelihatan begitu yakin ketika dipimpin datuknya pada majlis itu.

Anak sulung kepada pasangan usahawan dan pereka fesyen ternama, Datuk Jovian Mandagie dan Datin Nina Sabrina Ismail Sabri itu juga tidak kekok dengan perhatian yang diberikan, malah begitu manja di sisi datuknya.

Walaupun banyak mata memerhati, Jeanelle kelihatan bersahaja dan berjalan penuh yakin persis model cilik meniti pentas peragaan memukau perhatian ramai.

Jeanelle kelihatan selesa menemani datuknya pada majlis rasmi, malah pada usia mudanya dia menunjukkan kematangan apabila langsung tidak meragam ketika dikelilingi ramai.

Terdahulu dalam ucapannya ketika majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2021, Ismail Sabri berkata, kanak-kanak amat berharga di hatinya kerana mereka merupakan anugerah Tuhan yang amat bererti.

“Saya percaya, adalah tidak memadai jika kita hanya memperuntukkan satu hari dalam setahun untuk memperingati hak dan keperluan yang sepatutnya dinikmati mereka,” katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyeru Keluarga Malaysia supaya lebih berusaha untuk melindungi kanak-kanak kerana mereka bakal menjadi pemimpin yang hebat pada masa akan datang.

“Setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi untuk mendapatkan pendidikan dan membesar dalam suasana yang kondusif agar mereka mampu menjadi individu yang boleh mencapai potensi penuh serta mengejar impian mereka,” katanya. -SM

(Visited 311 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button