fbpx
Nasional

Hanya `tongkat ajaib’ boleh damaikan Dr Mahathir dan Muhyiddin – Syed Hamid

TAN Sri Syed Hamid Albar percaya Tun Dr Mahathir Mohamad sudah `berpatah arang berkerat rotan’ dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin melainkan ada sesiapa memiliki `tongkat ajaib’ untuk mendamaikan kedua-dua pemimpin tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU itu berkata, berdasarkan kenyataan-kenyataan dikeluarkan Lembaga Disiplin, setiausaha kerja dan setiausaha agung parti berkaitan kemelut dalaman BERSATU termasuk pengguguran keahlian bekas Perdana Menteri ketujuh itu, beliau tidak nampak hubungan presiden dan bekas pengerusi itu mampu dipulihkan.

“Sudah hancur lebur, ibarat kata pepatah Melayu, `sudah berpatah arang…’, saya tak pastilah kalau sesiapa ada `tongkat ajaib’ untuk bawa kedua-duanya berbincang bersama untuk kebaikan BERSATU.

“Kalau tidak, Muhyiddin kena bina balik BERSATU. Kena cari jalan untuk selamatkan parti dalam keadaan huru-hara ini. Bukan sahaja kerajaan penting, parti lagilah…buatlah apa yang baik untuk kerajaan, tapi kalau parti lemah, hancur, tak berguna juga,” kata beliau kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Menurut Syed Hamid, kemelut kepimpinan BERSATU telah meletakkan ahli dan pemimpinnya di akar umbi dalam keadaan `pening kepala’ dan hilang arah.


“Apatah lagi kita bukannya parti utama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) …apa yang ada adalah BERSATU menyediakan kepimpinan utama iaitu Perdana Menteri. Parti-parti dominan dalam PN adalah UMNO dan PAS serta campur dari Sabah (UMNO) dan Sarawak (Gabungan Parti Sarawak).

“BERSATU tidak termasuk dalam UMNO, PAS pula ada Muafakat Nasional (bersama UMNO), justeru kita (BERSATU) kena wujudkan kerjasama, kalau tidak susah nanti menghadapi PRU-15,” kata beliau.

Mengenai pemilihan BERSATU yang ditangguhkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)
sehingga 30 Jun ini ekoran penularan Covid-19, Syed Hamid berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan memutuskan tarikh rasmi.

“Setakat ini ada sembilan bahagian lagi yang belum bermesyuarat, ada banyak aduan kami terima yang ada bahagian tidak puas hati, batalkan mesyuarat dan minta buat balik.

“Semenjak Covid-19, pejabat BERSATU ditutup, fail-fail disimpan di pejabat. Bila buka nanti, kita akan tetapkan tarikh mesyuarat bahagian yang berbaki ini,” kata beliau. – SM

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button