Ekonomi

Sime Darby kekalkan operasi di Hong Kong, kata ceo kumpulan

Sime Darby Bhd akan mengekalkan operasinya di Hong Kong di sebalik protes berterusan di wilayah autonomi selatan China itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jeffri Salim Davidson berkata Hong Kong kekal sebagai pasaran penting bagi syarikat itu untuk kereta mewah dan menjadi pintu masuk ke China.

Ketika ini, Hong Kong menyumbang 5.9 peratus kepada perolehan syarikat itu bagi kategori motor dan perindustrian.

“Kami telah berada di Hong Kong sejak bertahun lalu. Oleh itu, kami mempunyai legasi di sana.

“Kami perlu memastikan kakitangan kami dalam keadaan selamat. Ini merupakan perkara utama,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

Sime Darby mempunyai 1,200 pekerja di Hong Kong.

“Saya berpendapat Hong Kong merupakan pasaran yang sangat matang. Ia merupakan pintu masuk ke pasaran China. Hong Kong mempunyai masyarakat yang mewah, manakala bahagian pasaran bagi segmen kereta mewah di Hong Kong adalah sangat tinggi,” kata Jeffri.

Beliau berkata Sime Darby juga membekalkan alat ganti bagi limbungan kerajaan Hong Kong dengan kebanyakan bot menggunakan enjin Caterpillar. Sime Darby merupakan ejen eksklusif.

Sementara itu, Sime Darby memperuntukkan antara RM500 juta dan RM600 juta perbelanjaan modal bagi tahun kewangan yang berakhir 30 Jun, 2020.

Ketua Pegawai Kewangan syarikat, Mustamir Mohamad berkata terdapat beberapa penggabungan dan pengambilalihan berpotensi yang dicadangkan bagi bahagian perindustrian dan motor.

Sementara itu Jeffri mengulangi pendirian bahawa Sime Darby tidak tergesa-gesa untuk melupuskan aset bukan terasnya termasuk 12 peratus kepentingan dalam Eastern & Oriental, 3,561.23 hektar tanah di Malaysia Vision Valley Negeri Sembilan dan 30 peratus kepentingan dalam Tesco Malaysia.

“Ini merupakan soalan pada waktu yang sesuai dan apakah kaedah terbaik untuk keluar. Kami telah jelas mengenai perkara itu sejak dari awal lagi,” katanya.

Ketika ini Sime Darby mempunyai pilihan lima tahun dengan Sime Darby Property untuk menjual tanahnya di Malaysia Vision Valley.

“Ia adalah lima+tiga (perjanjian). Sime Darby Property merupakan pilihan pertama. Kami juga mempunyai pembeli yang berminat membeli tanah dan mempunyai pilihan untuk menjualnya kepada pihak ketiga,” kata Mustamir.

Ketika ini, nilai pasaran tanah tersebut ialah RM2.5 bilion.- BERNAMA

(Visited 243 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button