NasionalPolitikPRK

Isu kaum jadi senjata terakhir kempen di Tanjung Piai

ESOK penduduk di Tanjung Piai akan melaksanakan tanggungjawab memilih calon parti mana yang paling layak mewakili mereka.

Keputusan yang bakal meleraikan teka-teki ini sekali gus akan mencerminkan tahap penerimaan atau sentimen rakyat keseluruhan terhadap masa depan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagi Barisan Nasional (BN), jika parti ini menang, memberi isyarat bahawa ‘hukuman’ terhadap mereka yang diterima pada Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin menghampiri ke titik pengakhiran.

Namun, sekiranya calon Gerakan atau Bebas berjaya mencipta keputusan luar biasa, ini bermakna pengundi sudah tidak kisah dengan  ‘siapa’ yang berkuasa sebaliknya menggunakan peluang yang ada untuk membuktikan bahawa mereka adalah penentu kepada kuasa tersebut!

Hakikatnya, sejak hari penamaan calon pada 2 November lalu, pelbagai situasi dapat dilihat.

Selain peraturan pilihan raya termasuk kunjungan dari rumah ke rumah yang menimbulkan kekeliruan dan membabitkan campur tangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), isu kaum turut dilapor dimainkan sebagai bahan kempen.

Keadaan ini mendorong kedua-dua musuh tradisi sejak PRU Ke-14 terutama dalam pilihan raya kecil-pilihan raya kecil kebelakangan ini iaitu PH dan BN, melemparkan tuduhan masing-masing.

Kita bimbang keterlanjuran kata dan perbuatan tanpa disedari, akan turut merosakkan nama baik negara di mata dunia yang dibina selama ini.

Jika diukur dari sudut pemerhatian politik, masing-masing cuba meyakinkan sokongan pengundi berpihak kepada parti yang diwakili.

Kehadiran Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu iaitu parti yang mewakili kerajaan PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat berjaya mencipta gelombang sokongan kepada parti itu.

Dalam masa sama, pengaruh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdiri satu pentas bersama-sama pemimpin Pas, MCA dan MIC, juga tidak dinafikan masih berbisa.

Yang pasti, sikap bersederhana ditunjukkan sebahagian besar penduduk Tanjung Piai ini wajar dipuji. Mereka faham, dalam menghadapi saat-saat genting menentukan wakil rakyat, kesejahteraan hidup berjiran adalah lebih utama.

Sehingga saat ini, nasib kedua-dua parti terbesar ini masih sukar diramalkan, walaupun ternampak sokongan berpihak kepada BN.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai yang mengandungi  seramai 53,528 pengundi berdaftar, memiliki jumlah komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, menang pada PRU-14 dengan majoriti tipis 524 undi menewaskan penyandang sebelumnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).

Apa pun, dengan tempoh kempen berbaki sehingga tengah malam ini, masih banyak usaha boleh dilakukan oleh parti-parti yang bertanding.

Cuma harapan kita ialah ketika semua pihak cuba mencari kesalahan pihak lain demi mencatat sebuah kemenangan peribadi, nilai-nilai murni dan soal perpaduan kaum yang selama ini menjadi kekuatan bersama dapat terus dikekalkan.

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button