Nasional

Pembukaan Seksyen 11, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Taiping Selatan- Beruas

MENTERI  Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini telah merasmikan pembukaan Seksyen 11,  Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Lebuhraya WCE merupakan lebuh raya antara bandar yang menghubungkan Changkat Jering di negeri Perak ke Banting negeri Selangor sepanjang 314.5 kilometer (km) dengan melalui destinasi utama seperti Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang di negeri Perak dan Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Banting di Selangor.

WCE Seksyen 11 yang dibuka ini melibatkan jajaran sepanjang 35.5 km yang menghubungkan pengguna secara terus dari lebuhraya PLUS di Changkat Jering ke Beruas, Perak. Seksyen ini dibuka secara rasmi kepada pengguna lebuh raya bermula dari jam 12.01 tengah malam pada 12 Mac 2024 (Selasa).

Pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 11 ini dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas yang akan mengambil masa hanya 20 minit sahaja berbanding 55 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada.

Pengurangan masa perjalanan ini pastinya memberikan penjimatan kos bahan api bagi pengguna yang menuju ke selatan Perak sehingga ke Selangor dan juga merupakan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan dan mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak, musim perayaan dan cuti persekolahan.

Ia juga merupakan akses yang lebih mudah kepada pengguna untuk ke destinasi pelancongan menarik di sekitar negeri ini seperti Zoo Taiping, Taman Tasik Taiping, Hutan Paya Bakau Matang, Muzium Perak, Pantai Remis, Pulau Pangkor serta menjadi nilai tambah kepada kempen Tahun Melawat Perak 2024 dan Sambutan Ulang Tahun ke-150 bandar Taiping.

Disamping itu, Lebuhraya WCE ini turut memainkan peranan dalam memangkin penjanaan ekonomi masyarakat  setempat persisiran pantai barat semenanjung yang terkenal dengan makanan laut dan penghasilan hasil laut.
Ini sekaligus memberi impak sosio-ekonomi yang lebih besar kepada negeri Perak dan Negeri Selangor melalui sambungan akses sedia ada dari lebuh raya ke pelabuhan. Ia juga akan menjadi laluan pilihan utama kepada aktiviti ekonomi logistik yang berurusan secara langsung dengan pelabuhan-pelabuhan seperti Pelabuhan Lumut, Pelabuhan Teluk Intan dan Pelabuhan Klang.

Dengan pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 11 ini, ia akan memberikan alternatif yang lebih selesa kepada pengguna yang menuju ke utara dengan laluan yang lebih landai dan kurang berbukit.

Jajaran ini juga menyediakan lebih kesalinghubungan antara rangkaian lebuh raya untuk kemudahan pengguna sebagai pelengkap keseluruhan jajaran WCE di negeri Perak dan pastinya akan memberi manfaat besar kepada pengguna terutamanya dalam penyuraian trafik, penjimatan masa, penjimatan kos perjalanan (bahan api) dan
pemanduan yang selesa dan selamat.

Ini selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 24 Ogos 2023 di Gerik, Perak yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat dengan penglibatan dan tanggungjawab bersama oleh semua pihak sesuai dengan semangat JALAN KITA, KITALAH YANG JAGA. – SM

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button