Jenayah

Hantar video lucah menerusi Telegram, penganggur didenda RM6,000

Mahkamah Sesyen Raub menjatuhkan hukuman denda RM6,000 ke atas seorang penganggur yang mengaku bersalah menghantar video lucah menerusi aplikasi Telegram kepada seorang wanita, tiga tahun lepas.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya juga memerintahkan Muhaimi Nabil Muatnan, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) dihukum penjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda itu.

OKS didakwa melakukan kesalahan itu pada 10.47 pagi, 24 Jan 2020 dengan menggunakan akaun Telegram telefon bimbitnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan hantaran itu dibaca pada 11 pagi, hari sama di Kuala Lipis, dekat sini.

Muhaimi Nabil yang menetap di Kuantan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

OKS yang masih bujang hadir ke mahkamah dengan diiringi polis selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah semasa sebutan kes pada 26 Jan lepas.

Semasa ditanya mengapa dia tidak hadir, OKS berkata dia terlibat dengan kemalangan di Bentong pada hari tersebut, namun tidak membuat laporan polis sebaliknya hanya berpatah balik ke rumahnya dalam keadaan stereng kereta rosak.

Dalam rayuannya, OKS yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum kerana telah diberhentikan kerja, selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mai Zairani Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada OKS dan mereka yang mungkin cenderung melakukan kesalahan serupa.

“Kami memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang bukan sahaja setimpal dengan keseriusan kesalahan, tetapi juga memberi indikasi mahkamah tidak akan bertoleransi dengan kesalahan seperti ini,” katanya.

Pendakwaan turut diwakili Pegawai Pendakwa MCMC Siti Hajar Sulaiman.

(Visited 325 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button