Politik

Hannah Yeoh tetap bukan Islam walaupun berselendang

MEMANG benar menutup kepala dalam masjid tidak mengubah agama dan bangsa Hannah Yeoh. Ahli Parlimen Segambut itu mencuri tumpuan ramai apabila dia mempertahankan tindakannya yang menutup kepala ketika berada dalam sebuah masjid baru-baru ini.

Katanya, tindakannya itu lebih kepada sikap menghormati agama Islam selain daripada sebenarnya, adap sopan ketika menjejakkan kaki ke dalam sesebuah masjid.

Kata Hannah, perbuatannya itu iaitu menutup kepala dan berpakaian sopan (dalam hal ini, dia berbaju kurung) diamalkannya ketika menziarah kematian mereka yang beragama Islam, berbangsa Melayu.

“Sepanjang saya menjadi wakil rakyat, selama 13 tahun di kawasan yang berbilang kaum dan agama seperti di Segambut dan Subang Jaya, saya sentiasa hormat penduduk apabila turun padang atau ke kawasan.

“Saya akan terus melakukan ini walaupun berhadapan dengan suara-suara yang melampau,” katanya dalam satu kenyataan berhubung pencerahan isu dia menutup kepala dan berbaju kurung ketika masuk ke dalam sebuah masjid.

Memetik laporan Utusan Online. Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyelar tindakan seorang pemimpin DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau yang mengkritik tindakan Hannah Yeoh memakai selendang dalam masjid.

Cheng Hau dilaporkan tidak puas hati dengan tindakan Ahli Parlimen Sebambut itu yang berselendang ketika lawatan ke sebuah masjid di Kuala Lumpur minggu lepas.

Dalam kenyataan yang sama, Hannah menegaskan, tindakan menutup kepala di dalam masjid tidak akan mengubah bangsa dan agama anutan beliau.

Menurut Hannah lagi, semua pihak perlu mempertahankan dan berjuang untuk Malaysia yang mengamalkan corak pendekatan sederhana.

Dan Malaysia, kata Hannah lagi, bukan untuknya seorang sahaja tetapi untuk orang lain, rakyat atau warganegara Malaysia.

“Hormati mereka di sekeliling  anda dan terapkan nilai kebaikan kepada jiran-jiran. Sikap mementingkan diri sendiri hanyalah resipi bencana yang lebih besar.

“Sampaikan suara rakyat Malaysia yang sederhana supaya ia bergema kuat di tempat kerja, kawasan kejiranan, ketika pertemuan bersama keluarga, tempat ibadat dan melalui media sosial,” ujar beliau.

Hannah berkata, beliau akan terus memakai selendang dengan sewajarnya. – SM

(Visited 1,586 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button