Uncategorized

Hannah bagi A+ dan F kepada Tengku Zafrul

AHLI Parlimen Segambut Hannah Yeoh memberi ‘markah’ A+ dan F kepada  Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz.

Ahli Parlimen DAP itu memberi A+ kepada bekas ahli korporat itu atas usaha beliau untuk belajar mengenai politik dalam tempoh enam bulan selepas pelantikannya dalam Kabinet.

Bagaimanapun Hannah memberikan F kepada Menteri Kewangan itu untuk ‘pelaksanaan dan hasil’.

“Sejurus selepas senarai projek 101 dikemukakan di Parlimen oleh Tengku Zafrul, media sosial segera dibanjiri dengan poster oleh penyokong BN mengenai isu ini.  Diselaraskan dengan baik.

“A +” untuk usaha dalam belajar politik dalam 6 bulan tetapi “F” untuk pelaksanaan dan hasil,” kata bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Sejak Isnin lalu, Tengku Zarful yang tidak pernah terlibat dalam bidang politik menjadi sasaran pemimpin pembangkang selepas memberitahu Dewan Rakyat mengenai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang diberikan secara rundingan terus kepada berpuluh buah syarikat ketika pemerintahan Pakatan Harapan.

Semalam Penasihat DAP Lim Kit Siang secara sinis berkata, Tengku Zafrul telah menyertai Kelab Malu Apa Bosku selepas Menteri Kewangan itu memberitahu Dewan Rakyat mengenai jumlah projek yang diberikan secara rundingan terus ketika era pemerintahan Pakatan Harapan.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Zafrul yang baru sahaja membawa satu tamparan besar kepada sambutan Jubli Emas Rukunegara dengan menyertai kempen Malu Apa Bosku.

“Darjat Parlimen telah diturunkan kepada tahap sebuah pasar malam politik, sebuah tempat di mana helah politik dimainkan,” kata Kit Siang dalam blognya.

“Malu apa bosku” adalah kempen yang digunakan oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan ia menjadi sensasi media sosial dan menarik kehadiran ramai orang di majlis-majlisnya.

Sebelum dilantik menganggotai Kabinet pada 9 Mac lalu,  Tengku Zafrul tidak pernah terjerumus atau menyokong mana-mana parti atau ahli politik. Tengku Zafrul yang  lahir pada  25 Jun 1973 itu lebih dikenali sebagai seorang ahli teknokrat.

Dia merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dan memulakan kerjaya dalam sektor perbankan/kewangan sebagai eksekutif kewangan korporat dengan AmInvestment Bank pada 1996.

Kemudiannya menyertai Crédit Agricole sebagai penganalisis pelaburan dan seterusnya menaiki tangga korporat sebagai pengarah dalam tempoh beberapa tahun.

Tengku Zafrul kemudian  menjadi sebahagian tenaga Avenue Capital Resources (kini dikenali ECM Libra) – sebuah syarikat tersenarai dengan kepakaran dalam perkhidmatan kewangan dana yang menyaksikan beliau dilantik sebagai pengarah urusan kumpulan.

Beliau juga pernah menjadi penasihat kepada Presiden Tenaga Nasional Bhd sebelum menyertai CIMB Investment Bank Bhd sebagai ketua pegawai eksekutif.

Selain itu, Tengku Zafrul juga adalah anggota Majlis Penasihat Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang mewakili Malaysia dalam usaha penggalakan perdagangan intra dan kerjasama dalam rantau itu.

Selain menggalas tanggung jawab korporat, beliau adalah penasihat pembangunan sosioekonomi Malaysia dan menganggotai Majlis Sukan Negara selain Pemegang Amanah Yayasan Kepimpinan Perdana.-SM

(Visited 546 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button