Politik

Kit Siang harap Warisan, Pejuang, Muda tandatangan MoU CSR dengan PM

PEMIMPIN kanan DAP Lim Kit Siang berharap Warisan, Pejuang dan Muda menyokong dan menandatangani memorandum persefahaman reformasi-perbekalan-kepercayaan (CSR) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, CSR yang telah ditandatangani oleh pemimpin Pakatan Harapan itu akan memberikan peluang kepada pemulihan Malaysia.

“Pun begitu, rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik, agama, wilayah atau politik, perlu memastikan bahawa MOU CSR yang ditandatangani antara Ismail Sabri dan pemimpin PH memberikan peluang bersejarah untuk menetapkan semula hala tuju negara ini ke arah pemulihan ekonomi dan sosial dalam era pasca-Covid-19 selain menyelamatkan Malaysia.

“Saya berharap Warisan, Pejuang dan Muda menyokong dan menandatangani MOU CSR dengan Perdana Menteri untuk masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia,” kata Kit Siang.

Menurut beliau, gencatan senjata politik mesti dilaksanakan dalam tempoh 10 hingga 18 bulan dari sekarang untuk menyatukan rakyat Malaysia.

Gencatan politik berkenaan membolehkan tumpuan tidak berbelah dalam usaha memenangi perang melawan wabak Covid-19 dan mengatasi kesan yang ditimbulkan oleh virus tersebut.

“Kita tidak mahu Malaysia berakhir sebagai negara kleptokrasi, kakistokrasi dan gagal.

“MOU CSR tidak bermaksud tiada lagi blok Pembangkang di Parlimen kerana Ahli Parlimen DAP dan PH akan terus bersuara dan mengangkat agenda keadilan, kebebasan, kemajuan dan perpaduan seperti biasa yang kami lalukan selama ini.

“Kami ingin memenuhi Impian Malaysia; untuk negara ini menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan untuk menunaikan hasrat Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman agar Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu,” kata Kit Siang.

Tambahnya, DAP dan PH akan melakukan yang terbaik untuk menjayakan memorandum persefahaman yang ditandatangani walaupun tidak ada jaminan bahawa ia akan berjaya membawa Malaysia ke suatu landskap politik baru.

Kit Siang berkata, DAP dan PH akan melakukan yang terbaik untuk menghormati janji yang termaktub dalam MOU CSR.

Ini kerana mereka tidak boleh membiarkan wabak Covid-19 terus berlanjutan dengan meninggalkan kerosakan terhadap kehidupan dan mata pencarian rakyat Malaysia.-SM

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button