Nasional

Hampir 4,000 sukarelawan KBS bantu mangsa banjir

KIRA-KIRA 3,864 sukarelawan digerakkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS)bagi membantu mangsa banjir di negeri terjejas sejak 19 Disember lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sukarelawan pascabanjir KBS itu turut disertai 731 pegawai dan kakitangan kementerian di samping tenaga pengajar Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

“Sukarelawan ini membabitkan individu berdaftar di bawah KBS, sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO), Kelab Team KBS dan Alumni MyCorps,” katanya selepas majlis penerimaan sumbangan bagi menjayakan program itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran program Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri mengaktifkan Pusat Panggilan Sukarelawan di negeri masing-masing.

Beliau berkata, pusat panggilan negeri itu dikoordinasikan oleh Bilik Gerakan Skuad Sukarelawan Pasca Banjir KBS yang berpusat di Menara KBS, Putrajaya.

“Jentera berat ini akan dikendalikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Mengenai kawasan tumpuan bagi misi bantuan hari ini, beliau berkata, pihaknya mengarahkan sukarelawan terbabit bergerak ke kawasan angkat KBS sekitar Selangor iaitu di Kampung Bukit Tadom, Kampung Bukit Serdang, Labohan Dagang, Bukit Changgang dan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang.

Ditanya perancangan KBS menyumbang tenaga sukarelawannya dalam misi bantuan ketika gelombang kedua banjir, Ahmad Faizal berkata, beliau sudah menghubungi Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim bagi membincangkan perkara itu.

“Pagi tadi saya menghubungi Aminuddin untuk tawarkan tenaga sukarelawan kami bagi membantu mangsa banjir,” katanya.

Ketika ini negeri terjejas banjir adalah Johor, Melaka, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah.

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button