NasionalNegeriPendidikan

Terus sokong usaha perkasa TVET di Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan singgah menyantuni asnaf sempena Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Tambun Tulang, Arau.

SEGENAP peringkat yang bertanggungjawab di Perlis disaran supaya terus menyokong usaha bagi memperkasakan lagi jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET).

Ini selaras dengan hasrat negara ke arah teknologi digital dan Revolusi Industri 4.0 yang amat signifikan untuk mempersiapkan lebih ramai lagi tenaga kerja yang berkualiti mengikut keperluan semasa dan masa depan industri.

Berbekalkan kemahiran digital, kecekapan teknikal, keusahawanan dan peluang pembelajaran sepanjang hayat, adalah diyakini bahawa Revolusi Industri 4.0 ini dapat dirancakkan dengan lulusan TVET iaitu mereka yang melalui proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri akan lebih proaktif dan inovatif.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan amal ‘MAIPs Peduli bilangan ke-21 pada tahun ini di sekitar Tambun Tulang.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan singgah di Hiyswa Jambu Homestay di Lot 5137, Kampung Lahar Jambu sempena Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Tambun Tulang, Arau.

Kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sejauh 20 kilometer (km) itu turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dari agensi Negeri serta Persekutuan dalam usaha menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di negeri ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga asnaf yang terpilih iaitu Ibrahim Mansor, 41 dari Kampung Behor Mentalon, Hambali Omar, 78 dari Kampung Pida 3 Semut Gatal dan Selasiah Arop, 79 dari Kampung Pida 4 Lama.

Masing-masing menerima bantuan wang tunai RM700 setiap seorang, Kits MAIPs Peduli serta dua bungkusan beras fidyah.

Raja Muda kemudiannya turut berkenan meluangkan masa melawat Hiyswa Jambu Homestay yang terletak di Lot 5137, Kampung Lahar Jambu sebagai tanda sokongan kepada kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Homestay ini telah mula beroperasi bermula sejak November tahun lalu dan mendapat tempahan yang cukup tinggi terutamanya ketika musim cuti sekolah dan cuti umum.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan singgah menyantuni asnaf sempena Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Tambun Tulang, Arau.

Terdapat 8 buah unit dan dua buah bilik bagi setiap unit yang dilengkapi dengan penghawa dingin dan beberapa keperluan asas lain.

Homestay yang jauh dari bandar dan dikelilingi sawah padi menawarkan persekitaran yang tenang dah privasi kepada penginap, malah dilengkapi dengan kolam renang tiga kedalaman yang berbeza antara faktor utama menjadi pilihan pengunjung terutamanya yang berkeluarga menginap di sini. – SM

(Visited 45 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button