Ekonomi

Hampi 5,000 pembayar cukai Fasa II berjaya sertai inisiatif e-Invois lebih awal

PELAKSANAAN e-Invois di Malaysia telah memasuki fasa kedua dan memperlihatkan peningkatan penyertaan yang sangat menyakinkan.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa sehingga 17 Januari 2025, lebih daripada 7,000 pembayar cukai Fasa II telah menggunakan sistem e-Invois, manakala Fasa III turut mencatatkan penyertaan awal secara sukarela daripada 4,900 pembayar cukai.

Trend positif ini mencatatkan secara keseluruhan sebanyak 17,000 pembayar cukai (syarikat / perniagaan / organisasi) telah secara aktif menggunakan sistem ini dengan melibatkan pengeluaran sekitar 137 juta e-Invois.

Jumlah tersebut disokong dengan peningkatan yang berterusan menunjukkan pelaksanaan e-Invois
ini semakin difahami dan diterima baik oleh pembayar cukai.

Pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh akan bermula pada 1 Julai 2025 yang melibatkan semua pembayar cukai termasuklah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Pada masa ini, Kerajaan telah bersetuju untuk memberi pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perusahaan mikro dan kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000 yang mana ia melibatkan lebih 700,000 perusahaan mikro dan kecil.

Kerajaan sangat menggalakkan penglibatan perusahaan mikro dan kecil bagi melaksanakan inisiatif e-Invois secara sukarela selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan operasi perniagaan.

Selain itu, Kerajaan telah menyediakan tempoh peralihan selama enam bulan bagi memberi kelonggaran kepada pembayar cukai untuk mengeluarkan e-Invois disatukan, iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan secara bulanan.

Sepanjang tempoh peralihan ini juga, penalti tidak akan dikenakan kepada pembayar cukai yang sekurang-kurangnya mengeluarkan e-Invois disatukan.

Dalam usaha untuk membantu pembayar cukai termasuk PMKS melaksanakan e-Invois ini tanpa melibatkan sebarang kos tambahan, HASiL telah menyediakan Portal MyInvois yang boleh diakses dan digunakan secara percuma bagi proses penghantaran e-Invois.

Sebagai maklumat tambahan, aplikasi MyInvois juga telah dibangunkan untuk kemudahan pembayar cukai. Kini, pembayar cukai boleh melaksanakan e-Invois menerusi aplikasi MyInvois di telefon pintar masing-masing
pada bila-bila masa dan di mana jua.

Bagi PMKS yang berkeupayaan dari segi kewangan, mereka mempunyai pilihan untuk membangunkan sistem sendiri atau menggunakan perkhidmatan pembekal teknologi.

Sebagai menyokong komitmen tersebut, Kerajaan telah menyediakan insentif cukai bagi perniagaan yang melakukan perbelanjaan untuk pelaksanaan e-Invois seperti berikut:

a. Tempoh tuntutan elaun modal dikurangkan daripada empat (4) tahun kepada tiga (3) tahun bagi perbelanjaan pembelian peralatan ICT dan pakej perisian komputer mulai Tahun Taksiran (TT) 2024; dan

b. Potongan cukai sehingga 50 ribu ringgit (RM50,000) untuk setiap TT bagi perbelanjaan yuran perundingan yang ditanggung PMKS mulai TT 2024 hingga 2027.

Sejak e-Invois mula dilaksanakan, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh pembayar cukai dalam aspek operasi perniagaan atau teknikal antaranya adalah kesukaran di pihak penjual untuk mendapatkan maklumat Nombor Pengenalan Cukai (TIN) pembeli bagi tujuan pengeluaran e-Invois pada peringkat awal pelaksanaan.

Sehubungan itu, HASiL telah menyediakan platform perkhidmatan carian TIN bagi tujuan yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang merangkumi aktiviti percukaian termasuklah bagi pelaksanaan e-Invois.

Platform carian TIN tersebut boleh diakses mulai 1 Januari 2025 melalui Portal MyTax (https://mytax.hasil.gov.my) di menu Carian TIN. Pembayar cukai boleh membuat carian TIN dengan memasukkan maklumat mengikut kategori seperti berikut:

a. Individu: Nombor Pengenalan (Nombor Kad Pengenalan / Nombor Pasport); dan
b. Selain Individu: Nombor Pendaftaran Perniagaan (BRN) atau Nama Pembayar Cukai yang didaftarkan di HASiL bagi yang tidak mempunyai BRN.

Bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois, fungsi carian TIN ini juga disediakan melalui mekanisme berikut:

a. Portal MyInvois; dan
b. Application Programming Interface (API) MyInvois. Maklumat lanjut berhubung penetapan fungsi carian TIN melalui API boleh didapati melalui Software Development Kit (SDK) MyInvois.

Bagi menyokong penggunaan MyDigital ID, HASiL juga menyediakan akses carian TIN di Portal MyTax dengan menggunakan pengesahan identiti MyDigital ID. Fungsi ini hanya boleh digunakan oleh warganegara Malaysia sahaja.

Selain itu, pembayar cukai yang menggunakan mekanisme API sebahagiannya telah menyatakan cabaran berkenaan limitasi saiz pengemukaan e-Invois.

Bagi mengatasi isu tersebut, HASiL telah menyediakan panduan teknikal kepada pembayar cukai melalui Software Development Kit (SDK) serta menyediakan kaedah untuk penetapan saiz fail mengikut keperluan pengemukaan e-Invois yang telah ditetapkan dalam menepati kelancaran proses validasi.

Dalam keadaan tertentu seperti perolehan barang atau perkhidmatan dari luar negara, terdapat keperluan bagi e-Invois untuk dikeluarkan oleh pembeli tempatan bagi pihak penjual atau penyedia perkhidmatan.

Memandangkan penjual asing tidak tertakluk kepada pelaksanaan e-Invois di Malaysia, tanggungjawab untuk mengeluarkan e-Invois Bil Kendiri terletak kepada pembeli di Malaysia bagi merekodkan perbelanjaan yang berkaitan.

Menerusi pengeluaran e-invois Bil Kendiri ini, semua transaksi dapat direkodkan dengan tepat di dalam sistem percukaian.

Proses pengeluaran e-Invois Bil Kendiri adalah sama dengan proses pengeluaran e-Invois individu. Perbezaan utama adalah pembeli akan mengambil peranan sebagai pembekal untuk mengeluarkan e-Invois tersebut dan menyerahkannya kepada HASiL untuk pengesahan.

Keperluan data bagi pengeluaran e-Invois Bil Kendiri juga adalah selaras dengan medan data yang dinyatakan di dalam Garis Panduan e-Invois.

Dengan kata lain medan data bagi pengeluaran e-Invois Individu adalah sama seperti medan data yang diperlukan bagi e-Invois Bil Kendiri.

Sekiranya nombor pengenalan cukai (TIN) tidak diperolehi untuk pembeli dan penjual asing, nombor TIN umum bagi pembeli dan penjual asing boleh digunakan.

HASiL sentiasa memantau ketersediaan dan prestasi Sistem MyInvois berada pada tahap 99.97% pada setiap masa bagi memastikan kelancaran pelaksanaan e-Invois tidak terjejas baik di peringkat HASiL dan juga pembayar cukai.

HASiL juga memahami kepentingan untuk mengekalkan kerahsiaan maklumat sensitif, seperti akses kepada Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).

Untuk menangani kebimbangan ini, HASiL dalam penyelarasan bagi memastikan wakil syarikat yang dilantik hanya mempunyai akses kepada maklumat yang berkaitan dengan transaksi e-Invois sesuai dengan peranan yang diberikan.

HASiL sentiasa komited menyediakan sistem yang selamat serta melindungi integriti data sulit perniagaan bagi membolehkan pengendalian proses e-Invois yang cekap.

HASiL amat mengalu-alukan pembayar cukai, individu atau melalui persatuan yang berkaitan untuk  mengemukakan sebarang maklum balas atau cadangan kepada HASiL bagi sebarang isu-isu pelaksanaan e-Invois sama ada berkaitan operasi atau teknikal untuk bantuan serta sokongan secara lebih terperinci dan penambahbaikan yang berterusan.

Sebagai rekod, HASiL telah mengadakan lebih daripada 1,000 sesi libat urus bersama pembayar cukai, persatuan-persatuan serta badan profesional bagi membantu pembayar cukai dalam melaksanakan e-Invois secara berterusan.

Selain libat urus secara bersemuka dan dalam talian, HASiL turut menyediakan pelbagai saluran komunikasi bagi membolehkan pembayar cukai mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan pelaksanaan e-Invois.

Pembayar cukai disarankan untuk menghubungi saluran khas e-Invois yang disediakan oleh HASiL bagi
mendapatkan bantuan khidmat nasihat berkenaan pelaksanaan e-Invois seperti yang disediakan berikut:

a. Meja Bantuan e-Invois HASiL di talian 03-8682 8000 (talian 24 jam);

b. MyInvois Live Chat;
c. E-mel [email protected] bagi pertanyaan umum e-Invois; dan
d. Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.

HASiL juga menyediakan laman mikro khas e-Invois pada portal rasmi HASiL menerusi pautan pantas di https://www.hasil.gov.my/e-invois serta pelbagai platform komunikasi lain dalam usaha menyampaikan pelbagai maklumat berkaitan pelaksanaan e-Invois.

Sebarang perubahan dan pengumuman khas berhubung pelaksanaan e-Invois akan turut disampaikan melalui Kenyataan Media dari semasa ke semasa untuk perhatian umum.

Kerajaan akan terus komited dalam membantu semua pembayar cukai termasuk PMKS sepanjang tempoh peralihan untuk melaksanakan e-Invois sepenuhnya.

Sesi libat urus, aktiviti pendidikan dan program kesedaran akan terus dipergiatkan di seluruh negara bagi menjelaskan proses dan mekanisme pelaksanaan e-Invois, di samping memberi bimbingan secara terus berhubung penggunaan Portal MyInvois.

Dengan pelaksanaan inisiatif e-Invois ini, HASiL berharap semua pihak dapat berganding bahu membina persekitaran ekonomi yang dinamik sekali gus memastikan agenda nasional negara tercapai. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button