Parlimen

Ahli Parlimen termasuk dari blok pembangkang puji Ismail Sabri

BUKAN mudah untuk mendapat sokongan dan pujian daripada pihak pembangkang, namun dek kerana kematangan dan integriti yang dipamerkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beliau memang wajar diberi pujian bukan sahaja pembangkang, tetapi oleh semua pihak.

Kesungguhan beliau untuk menunaikan dan menghormati memorundum persefahaman yang dimeterai antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) membuatkan ketika beliau membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sangat dihargai ahli-ahli Parlimen termasuk dari blok pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menghormati memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Anwar, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membentang dan membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 hari ini menunjukkan bahawa MoU tersebut telah dihormati serta sampai pada tahap ‘menyenangkan’.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan menteri berkenaan kerana telah mengambil langkah menerima pandangan serta menghormati semangat yang kita meterai dalam MoU antara kerajaan dan PH.

“Ini perkara yang disepakati PH dan Kerajaan kita telah sampai tahap yang meyenangkan kerana isu ini memang menarik minat rakyat kerana ia menghormati mandat rakyat dan menolak apa-apa pengkhianatan terhadap mandat rakyat,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana berjaya menyatukan kerajaan dan pembangkang melalui usaha dwi partisan untuk mengangkat Akta Anti Lompat Parti.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berharap, usaha tersebut tidak hanya terbantut kepada pelaksanaan akta itu sahaja tetapi perlu diteruskan dengan penggubalan Akta Pendanaan Politik.

“Ini penting supaya akhirnya kita dapat bersihkan Malaysia daripada politik wang, percaturan elit dan akhirnya dapat mengembalikan kuasa kepada rakyat.

“Saya rasa Perdana Menteri berada di kedudukan terbaik, kebiasaannya seseorang itu benar-benar diuji semasa tempoh krisis dan ujian itu akan membuatkan negara ini lebih kukuh.

“Saya berharap Perdana Menteri dapat menyahut cabaran ini, tahniah, saya berharap pembaharuan ini akan terus dibawa kerana kita masih ada lagi untuk selamatkan Malaysia, bukan untuk parti politik tetapi untuk rakyatnya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli Parlimen pembangkang iaitu Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu melahirkan kekesalan apabila ada laporan berhubung isu protokol ketika Perdana Menteri melawat UAE, baru-baru ini.

“Walaupun Perdana Menteri ini adalah hasil daripada lompat tetapi beliau tetap Perdana Menteri, mesti dihormati.

“Tak boleh dibuat seperti itu semasa berada di Dubai dan menteri berkenaan mesti bertanggungjawab,” katanya.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook pula berkata, Perdana Menteri turut bersetuju bahawa Perkara 10 (3) (a) perlu diperhalusi dengan meletakkan perkataan lebih khusus untuk menyekat hanya untuk Akta Anti Lompat Parti serta tidak menjurus kepada perkara lain.

Bagi Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas), sokongan yang diberikan oleh pembangkang terhadap penggubalan Akta Anti Lompat Parti hari ini menunjukkan bahawa kestabilan politik boleh dicapai dengan rundingan, tidak perlu sehingga untuk mengadakan pilihan raya.

Kata beliau, keputusan besar boleh dicapai apabila kerajaan dan pembangkang berjaya mengadakan rundingan.

“Satu perkara yang menjadi rekod dalam sejarah bagaimana kerajaan hari ini yang berada dalam majoriti tipis boleh mengadakan rundingan begitu baik dengan pembangkang dan bagaimana pembangkang dengan hati terbuka telah pun bertindak memberi sokongan terhadap apa yang dibentangkan oleh kerajaan.

“Perdana Menteri pada hari ini perlu kekal sehingga akhir penggal bagi memberi laluan kepada agenda penting untuk rakyat dan tidak tunduk kepada usaha mengadakan pilihan raya dengan segera kerana tak memberi manfaat kepada negara,” katanya.

Pembentangan dan perbahasan hari ini membabitkan penggubalan punca kuasa bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Bagaimanapun, RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung Antilompat Parti yang dijadualkan dibentang, dibahas dan diluluskan pada mesyuarat khas kali ini, ditangguhkan ke satu lagi Sidang Khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

Seramai 65 orang ahli Parlimen terlibat sebagai pembahas Sidang Khas Parlimen Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022.

(Visited 452 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button