Politik

CEO baharu KWSP diharap permudah permintaan rakyat

PENGELUARAN wang menerusi program i-Sinar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi topik utama untuk diketengahkan.

Perkara itu diharapkan selepas KWSP mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)yang baharu, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menggantikan Tunku Alizakri Alias.

Justeru, transisi baharu dalam kerajaan itu diharapkan dapat mendengar suara rakyat terutama mengenai pengeluaran i-Sinar.

Lebih-lebih lagi, apabila rakyat kini sedang berhadapan dengan tekanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)2.0 serta kebimbangan dalam tempoh Perintah Darurat.

“Sebaliknya kepimpinan baharu KWSP mestilah benar-benar menyelami dan memahami suara hati rakyat.

“Yang amat berharap agar mereka dapat mengeluarkan wang simpanan mereka tanpa syarat dan tanpa kriteria yang menyusahkan di kala suasana luar biasa pandemik ketika ini.”

Demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, dalam satu kenyataan menyambut baik pertukaran CEO KWSP bermula 1 Mac ini.

Beliau berkata, pertukaran itu juga diharapkan memberikan kebaikan kepada para pencarum dan rakyat Malaysia dan bukan sekadar amalan tadbir urus korporat.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengalu-alukan berita pertukaran CEO KWSP baharu yang akan bermula 1 Mac ini.

“Pemuda hanya berharap dengan pertukaran CEO ini bukan sekadar ‘window dressing’ atau indah khabar dari rupa,” ujarnya.

Sebelum ini, KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu diumumkan selepas menerima kelulusan Kementerian Kewangan.

Amir Hamzah mempunyai 25 tahun pengalaman dalam meneraju beberapa organisasi korporat.

Kerjayanya bermula apabila menyertai Kumpulan Shell dan seterusnya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif beberapa organisasi korporat.

Antaranya MISC Bhd, PETRONAS Dagangan Bhd, PETRONAS Lubricants International, Icon Offshore Bhd dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan (Kewangan dan Ekonomi) daripada Universiti Syracuse, New York. – SM

(Visited 620 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button