Nasional

Hakim harus lihat kesesakan penjara jatuhi hukum pelanggar PKP

KETIKA hampir 1,000 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat hari ini tampil dengan satu saranan.

Beliau menggesa para hakim mengambil kira isu kesesakan penjara ketika menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang mengingkari PKP yang bermatlamat membendung penularan COVID-19.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Jabatan Penjara meminta mahkamah tidak memenjara pelaku kesalahan itu memandangkan kesesakan di penjara menyukarkan usaha melakukan penjarakan sosial.

Justeru Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah memaklumkan kepada semua pegawai kehakiman untuk menimbang kesan akibat kesesakan penjara seperti yang dinyatakan Tengku Maimun.

“Di samping mengambil kira peruntukan hukuman berdasarkan undang-undang sedia ada, masalah berkenaan risiko penularan wabak COVID-19 yang bakal dihadapi penjara di Malaysia boleh juga diambil pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman bagi kesalahan pelanggaran PKP,” kata pejabat itu dalam kenyataan.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, seorang jurucakap Mahkamah Persekutuan juga berkata, mahkamah tetap mempunyai budi bicara dan pihaknya hanya membangkitkan masalah kesesakan penjara.

Semalam seorang jurucakap Jabatan Penjara juga mendedahkan kini terdapat 73,000 banduan di ruang yang sewajarnya hanya untuk 52,000 orang.

Dengan penguatkuasaan PKP, orang ramai tidak dibenarkan berada di luar rumah untuk urusan tidak penting.

Mereka yang melanggar perintah itu boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun pesalah juga boleh dikenakan pendakwaan lain seperti menghalang pegawai awam menjalankan tugas, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Semalam, peguam Haniff Khatri mencadangkan agar pelaku kesalahan itu dijatuhkan hukuman khidmat masyarakat yang boleh dilakukan selepas tamat PKP. – SM

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button