Nasional

Sambutan Aidilfitri di Perlis meriah

Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Perlis, satu-satunya yang tiada kes Covid-19 meriah dan ceria berbanding negeri lain meskipun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keputusan menetapkan solat Aidilfitri tahun ini diadakan di kawasan lapang di masjid seluruh negeri ini dengan bilangan jemaah pula mengikut kapasiti tanah lapang berkenaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, menghidupkan suasana Aidilfitri

Utusan Malaysia melaporkan di Arau, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenaan berangkat menunaikan solat Aidilfitri bersama-sama rakyat di dataran istiadat, pekarangan Istana Arau.

Solat Aidilfitri di kawasan tanah lapang tersebut bermula pukul 8 pagi dan berakhir sekitar pukul 8.30 pagi dengan para jemaah dalam jumlah yang telah ditetapkan itu mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka sebelum terus bersurai selepas solat berkenaan.

Solat Aidilfitri itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor manakala khutbah pula disampaikan oleh Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco kerajaan negeri ini.

Sementara itu, seorang jemaah, Azizi Razali,36, berkata, dia bersyukur apabila sempat bersama menunaikan solat Aidilfitri tersebut.

Katanya, buat pertama kalinya mereka berpeluang menunaikan solat Aidilfitri di kawasan lapang di pekarangan Istana Arau.

“Alhamdulilah semua berjalan lancar dengan jemaah mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Kalau boleh selepas berakhirnya Covid-19 ini, solat Aidilfitri pada masa-masa akan datang turut diadakan di kawasan lapang dan ia juga bertepatan dengan sunnah,” katanya.

Seorang lagi jemaah, Azizul Hakim Abdullah,40, pula berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana serba sederhana bersama keluarga di rumah.

“Semua perlu berkorban dalam usaha mengekang penularan Covid-19. Insya-Allah tahun-tahun ke depan kita masih boleh beraya,” katanya.

Perlis yang mempunyai penduduk kira-kira 280,000 orang, mempunyai tahap kepatuhan SOP kadar hampir 100 peratus, berjaya mengekang wabak berkenaan daripada menular ke negeri berkenaan.

(Visited 341 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button