Ekonomi

Pertimbang liberalisasi sektor tenaga elektrik, elak monopoli harga

Apabila berlakunya monopoli maka pengguna tidak ada pilihan melainkan terpaksa membayar walaupun mahal

KERAJAAN wajar mempertimbangkan langkah untuk meliberalisasikan sektor tenaga elektrik di negara ini bagi mengelakkan berlakunya monopoli tarif elektrik hingga membebankan pengguna.

Kenaikan bil elektrik yang mendadak ketika Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini hingga menimbulkan kemarahan rakyat, sebahagiannya kerana monopoli perkhidmatan pembekalan tenaga elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad.

Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengguna tidak mempunyai pilihan sekiranya pembekalan tenaga terus dimonopoli oleh satu pihak.

“Apabila berlakunya monopoli maka pengguna tidak ada pilihan. Baru-baru ini bila bil elektrik naik tinggi, beri diskaun pun hanya disebabkan campur tangan daripada kerajaan.

“Kalau kerajaan tidak buat, maka pelanggan terpaksa menampung bil yang tinggi.

“Jadi kalau liberalisasi dari segi pembekalan elektrik kepada pengguna akhir saya rasa wajar dipertimbangkan,” kata Dr. Ahmed Razman ketika dihubungi oleh Suara Merdeka.

Beberapa negara telahpun meliberalisasikan pasaran tenaga elektrik. Singapura misalnya mempunyai 12 syarikat penyedia kemudahan elektrik.

Sejak April 2018 rakyat negara itu mempunyai pilihan dalam mendapatkan bekalan elektrik berdasarkan kepada pakej yang memenuhi permintaan mereka.

Dr. Ahmed Razman berkata, Malaysia juga boleh meliberalisasikan perkhidmatan tenaga elektriknya dengan mengguna pakai kaedah yang dilakukan oleh Telekom Malaysia sebagai pembekal perkhidmatan telekomunikasi.

Malah Malaysia juga boleh meniru kaedah yang digunakan oleh Singapura yang memberi manfaat kepada rakyat mereka.

“Macam Telekom ada perkhidmatan fiber optik. Unifi, Maxis Digi dan sebagainya menyewa fiber optik Telekom. Maknanya Maxis, Digi, Celcom, Unifi mereka bersaing dari segi penawaran pelan. Walaupun sumber fiber optik daripada Telekom.

“Konsep yang sama kita boleh gunakan. Maknanya TNB dia jana tenaga elektrik tapi nak salurkan kuasa kepada pengguna tempatan boleh diberikan kepada pelbagai syarikat.

“Singapura mengguna konsep yang sama. Dia cuba ada satu syarikat yang akan membekalkan elektrik kepada 12 syarikat perkhidmatan,” jelas Dr. Ahmed Razman.

Menurut Dr. Ahmed Razman, liberalisasi tenaga juga membolehkan TNB mengoptimumkan sumber yang mereka ada sekaligus dapat melakukan penjimatan sekaligus memberi keuntungan kepada syarikat.

“Bagi pendapat saya kalau TNB fokus kepada kepakaran menjana elektrik maka boleh kurangkan banyak kos untuk mengupah ramai pekerja antaranya pergi ke setiap rumah menyemak dan memberi bil, membuat pendawaian dan macam-macam lagi.

“Kos ini boleh dilepaskan oleh TNB kepada syarikat yang menyediakan perkhidmatan pembekalan elektrik,” kata Dr. Ahmed Razman.

Laporan media menyebut, rakyat Singapura menikmati diskaun pengurangan bil elektrik sehingga 22.5 peratus yang ditawarkan syarikat penyedia bekalan elektrik.

Harga itu adalah lebih rendah berbanding tarif asal apabila liberalisasi tenaga mula diperkenalkan pada tahun 2018 di negara tersebut.

Ketika itu, kawasan Jurong menjadi peneraju dan penguji kaedah baharu liberalisasi pasaran tenaga melalui syarikat peruncit pada 1 April 2018.

Berdasarkan laporan portal Channel News Asia (CNA) pada beberapa individu yang ditemubualnya memberikan reaksi positif terhadap cara baharu penarifan bil elektrik pengguna di Singapura.-SM

(Visited 981 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button