
Haji Akbar bukan haji biasa bila Arafah jatuh Jumaat, inilah yang berlaku!
SETIAP tahun, jutaan umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima, iaitu ibadah haji. Namun dalam kalangan masyarakat, istilah “Haji Akbar” sering menjadi sebutan — apakah sebenarnya maksudnya?
Apa Itu Haji Akbar?
Haji Akbar merujuk kepada hari wukuf di Arafah (9 Zulhijjah) yang jatuh pada hari Jumaat. Ia dianggap sangat istimewa kerana menghimpunkan dua hari paling mulia dalam Islam — hari Arafah dan hari Jumaat, yang kedua-duanya mempunyai nilai ganjaran pahala yang tinggi.
Hari Jumaat sendiri dikenali sebagai ‘penghulu segala hari’, manakala hari Arafah pula adalah kemuncak ibadah haji, iaitu hari di mana para jemaah berkumpul di Padang Arafah memohon keampunan dan rahmat Allah SWT.
Haji Akbar Dalam Al-Quran
Istilah “Haji Akbar” disebut secara khusus dalam Surah At-Taubah, ayat 3:
وَأَذَانٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ
“Dan inilah suatu pengumuman dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri dari orang-orang musyrik…”
(Surah At-Taubah: 3)
Sirah: Pengisytiharan Di Mina
Ayat ini diturunkan pada tahun ke-9 Hijrah, ketika Rasulullah SAW mengutuskan Saidina Abu Bakar RA untuk memimpin ibadah haji buat pertama kalinya. Kemudian, Saidina Ali RA dihantar pula untuk menyampaikan perisytiharan penting di Mina pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah), yang dikenali sebagai Hari Haji Akbar ketika itu.
Antara isi pengisytiharan tersebut:
-
Kaum musyrikin tidak lagi dibenarkan menunaikan haji di Masjidil Haram.
-
Larangan bertawaf dalam keadaan telanjang.
-
Penamatan perjanjian dengan kaum musyrikin selepas tempoh yang ditetapkan.
Menurut Ibnu Abbas RA, Haji Akbar ialah Hari Nahr (10 Zulhijjah), manakala sebahagian ulama menyatakan ia merujuk kepada hari wukuf jatuh pada hari Jumaat – iaitu gabungan dua keutamaan.
Mengapa Ia Dianggap Istimewa?
-
Gabungan dua hari paling mulia: Hari Arafah & Hari Jumaat.
-
Doa dan amalan lebih mustajab.
-
Ramai jemaah dan ganjaran pahala berlipat ganda.
-
Dianggap peluang keemasan untuk mendapat keampunan dan keberkatan maksimum.
Namun begitu, ibadah haji tetap sah dan sempurna walaupun bukan pada tahun Haji Akbar. Apa yang paling penting adalah keikhlasan, kesempurnaan rukun, dan niat dalam melaksanakan ibadah tersebut.