NasionalNegeri

Pembinaan laluan jejantas berpagar baharu selesaikan isu pejalan kaki stesen KTMB Padang Besar

ISU penutupan laluan jejantas yang menghubungkan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad Padang Besar ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) pada 1 September 2020 akhirnya diselesaikan.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin apabila sebuah laluan jejantas berpagar baharu akan dibina dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan lagi.

Keputusan itu dibuat hasil dari perbincangan beliau dengan pihak Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

“Kita sebenarnya mencari jalan untuk memberi kemudahan kepada penumpang kereta api tetapi dalam masa yang sama tahap keselamatan di ICQs kena dijaga,” katanya.

Hamzah melakukan tinjauan laluan jejantas lama yang ditutup atas sebab keselamatan ICQS sehingga menimbulkan rungutan kepada penumpang KTMB Padang Besar. -GAMBAR IHSAN JABATAN PENERANGAN PERLIS

Sehubungan itu kata Hamzah apa yang penting laluan jejantas berpagar yang bakal dibina ini akan keluar dari kawasan Kompleks ICQS berbanding sebelum ini.

“RAC akan membina laluan baharu ini di atas tanah milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke laluan jejantas lama yang ditutup sehingga menimbulkan rungutan kepada orang ramai.

Hadir sama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengurus Besar RAC, Adam Abu Hanipah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Hamzah berkata, RAC juga akan membina tempat khas untuk teksi dan motosikal untuk kemudahan pejalan kaki.

Beliau berkata, kerajaan perlu meningkatkan keselamatan memandangkan kemasukan orang asing melalui kereta api menjangkau 2,000 orang sebulan.

“Jumlah kemasukan orang asing melalui ICQS pula sebanyak 30,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu setiap orang asing juga dimestikan melalui pemeriksaan kastam dan imigresen di stesen KTMB sebelum dibenarkan menggunakan laluan jejantas baharu.

“Kita bimbang bermacam-macam kesalahan boleh dilakukan apabila terdapatnya pertembungan kemasukan orang asing melalui kereta api dan kereta melalui ICQS,” katanya. – SM

(Visited 512 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button