Belang Bertempat

Filem P.Ramlee pun sudah ramal gelodak politik kita

Bukan kadang-kadang dah, tapi selalu bila Belang tonton filem arahan dan lakonan Allahyarham P. Ramlee, mesej-mesej di dalamnya wah, cukup melangkaui zaman.

Hebat P.Ramlee.

Ya, betul-betul drama melanda politik tanah air kita, khususnya membadai Pakatan Harapan.

Perdana Menteri ketujuhnya tiba-tiba letak jawatan, sekali gus menyebabkan gabungan politik itu tak keruan, cacamarba – hanya mampu bernafas 22 bulan.

Serba-serbi tak kena dengan ungkapan atau kenyataan yang keluar daripada mulut mana-mana pemimpin Pakatan Harapan – ya, memakan diri sendiri.

Bila sudah tumbang, tiga supremonya – Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang masih bercakap tentang siapa bakal PM-9. Tapi alih-alih Tun Mahathir khabarnya masih tetap enggan serahkan kepada Anwar, andai kata beliau boleh kembali, kali ini menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin.

Bercelaru. Keliru. Kasihan rakyat ibarat `kancil tersepit di tengah tempuran dua gajah’.

Hari ini engkau pecat aku. Esok aku pecat kau balik. Hari ini engkau musuh aku. Esok, marilah balik jadi kawan aku.

Dunia oh! dunia. Agaknya, apakah bentuk politik yang sedang ‘dilagukan’ oleh pemain-pemain dalam Pakatan Harapan waktu ini?

Perlu direnung kembali kisah Sang kancil. Sang kancil memberitahu bu­aya-buaya dalam sungai bahawa ia diarahkan oleh Raja Sulaiman untuk membilang kesemua buaya dalam sungai itu. Ini bagi membolehkan Raja Sulaiman memberikan mereka hadiah.

Maka beraturlah buaya itu di sepanjang sungai – dari tebing sebelah sini, sampailah ke tebing sebelah sana.

Sang kancil pun melompat ke atas belakang buaya-buaya itu sambil menyanyi: “Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk. Empat, lima, enam dan tujuh, lapan, sembilan dan 10, 11, 12 dan 13. Ekor kalian jangan melibas, 14, 15 dan 16, perintah Raja Sulaiman ditunaikan lekas.”

Akhirnya sang kancil berjaya menyeberangi sungai. Lalu ia berkata: “Wahai buaya-buaya semua, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu? Sekarang kamu bersurailah!”. Tatkala itu, barulah buaya tahu bahawa mereka telah ditipu.

Siapa agaknya yang kena lekuk ?

Biar apa pun, kita rakyat Malaysia sekurang-kurangnya menghormati pendirian sebilangan ahli politik yang kekal dengan prinsip perjuangan dan ideologinya sehingga ke penghujung hayatnya.

Kemelut politik Malaysia ini satu sahaja puncanya – berebut mahu jadi Perdana Menteri.

Ini mengingatkan kita pada adegan-adegan dalam filem arahan Allahyarham P. Ramlee.

Dalam filem Nujum Pak Belalang terbitan tahun 1959 itu, dua pelakonnya, Allahyarham Aziz Sattar (Badan) sedang membahagikan barang rompakan (duit syiling) dengan Allahyarham S.Shamsuddin (Nyawa) dalam gua.
Badan: 1 untuk engkau, 1 untuk aku. 2 untuk engkau, 2 untuk aku. 3 untuk engkau, 3 untuk aku. Lepas tiga berapa??
Nyawa: Hentam sajalah…
Badan: Hentam sajalah untuk engkau, hentam sajalah untuk aku. Lepas hentam sajalah??
Nyawa: Bedal daa…
Badan: Bedal daa untuk engkau. Bedal daa untuk aku. Lepas bedal daa??…

Memang hebat filem-filem P.Ramlee.
Laksamana Do Re Mi pula mengisahkan tiga sahabat menyelamatkan negara Pasir Berdengung yang terpaksa memerintah di bawah pokok. Tetapi sebelum menjadi laksamana, Do Re Mi tinggal di atas pokok, membuat rumah di atas pokok milik orang, bukan di tanah sendiri.

Apabila Do Re Mi berdegil tidak mahu berpindah dari atas pokok itu, pemilik tanah mengancam akan menebang pokok itu dan akhirnya Do Re Mi mengaku kalah dan lari seterusnya menjadi laksamana. Kini Do Re Mi, Nasib Do Re Mi dan Laksamana Do Re Mi sudah pun selesai.

Benarlah – mesej-mesej yang terkandung dalam filem P. Ramlee tidak luput dek zaman.

Bedal sahajalah Pakatan Harapan. Bedal sahajalah Tun Mahathir. Bedal sahajalah Kit Siang.
– SM

(Visited 1,495 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button