Nasional

Patutkah pelaksanaan hukuman penjara Najib Razak ditangguhkan?

HARI ini timbul persoalan patutkah pelaksanaan hukuman 12 tahun penjara terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan sehingga keputusan rayuannya di Mahkamah Persekutuan?

Itu persoalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Johor, Hassan Abdul Karim.

Belia berpendapat, permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman (stay of execution) telah difailkan oleh Najib di Mahkamah maka persoalan ini akan dijawab dan akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

“Undang-undang sedia ada menyatakan rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi hatta ke Mahkamah Persekutuan sekalipun tidaklah bermakna secara automatik penggantungan pelaksanaan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta terhadap Najib Razak yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan (Court of Appeal) itu akan dibenarkan.

“Pendengaran atau perbicaraan permohonan Najib terhadap penggantungan pelaksanaan hukuman tersebut perlu dilakukan oleh Mahkamah Rayuan,” ujar beliau.

Beliau berkata, akan tetapi amalan duluan atau precedent kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kes Fitnah II perlu dirujuk.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan, kata Hassan.

“Tetapi pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) waktu itu yang diketuai oleh Najib Razak selaku Perdana Menteri telah mengarahkan Pendakwa Raya supaya membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

“Mahkamah Rayuan kemudiannya telah mengenepikan keputusan tidak bersalah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.

Untuk rekod, Anwar telah memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara ke atasnya kerana beliau akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Tetapi permohonan Anwar itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan. Beliau dihantar dari Mahkamah Rayuan di Putrajaya terus ke Penjara Sungai Buloh.

“Jadi, berdasarkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan di mana dinyatakan secara bertulis bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang maka saya menuntut tidak ada amalan dua darjat yang membezakan antara Najib dengan Anwar.

“Justeru sebagai seorang Ahli Parlimen yang bersumpah untuk memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan maka saya menuntut supaya apa keputusan yang Mahkamah telah jatuhkan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim hendaklah dilaksanakan hal yang sama terhadap Datuk Seri Najib Razak,” kata Hassan.

Pada pandangan beliau, jika demikian berlaku, barulah dunia melihat sistem undang-undang Malaysia sesungguhnya adil. – SM

 

(Visited 349 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button