Sukan

Hafizh kutip tiga mata berharga di Aragon

DALAM situasi serba menekan berhubung masa depannya dalam kejuaraan motosikal dunia, musim depan, Hafizh Syahrin Abdullah masih mampu kekal fokus kepada perlumbaan di Aragon, Sepanyol apabila pelumba Moto2 negara itu mengutip tiga mata berharga setelah melengkapkan saingan di kedudukan ke-13, semalam.

Pungutan mata itu adalah yang pertama sejak Hafizh ditimpa kemalangan di Austria, Ogos lalu, setelah pelumba yang bernaung di bawah pasukan Sepanyol, Aspar Team itu mencatat masa 39 minit 53.962 saat (s).

Malah, Hafizh turut membuktikan kematangan dan kekal bersikap profesional dalam menangani isu yang melanda dirinya ekoran keputusan Aspar Team yang tidak lagi berlumba dengannya pada musim depan, untuk kembali bangkit mengutip mata.

Anak muda berusia 26 tahun itu sendiri mengakui sukar untuknya mencatat keputusan tersebut, jika dia tidak meletakkan kepercayaan kepada dirinya sendiri.

“Saya akhirnya menemui arah tuju yang betul. Sukar sebenarnya untuk berjaya, tetapi saya masih percaya kepada diri sendiri.
“Perlumbaan masih berbaki tiga pusingan untuk tamat dan saya akan memberikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhassApp.

Pelumba Great Britain, Sam Lowes menjuarai saingan di Aragon itu setelah mencatat masa terpantas 39:27.645s, manakala Fabio Di Giannantonio dari Itali berada di tempat kedua dan rakan senegaranya, Enea Bastianini di kedudukan ketiga.

Mengulas lanjut mengenai perlumbaan, Hafizh berkata, dia sedikit bergelut pada awal saingan dalam usahanya bagi mendapatkan rentak.

“Selepas itu, barulah saya dapat cari cara yang terbaik untuk mengendalikan jentera. Kami mengambil keputusan berani dengan menggunakan tayar agak lembut di bahagian belakang dan ia membantu saya ketika berada di selekoh.

“Semasa berada pada pusingan kedua terakhir saya cuba memintas (Xavi) Vierge, tetapi dia menutup ruang untuk saya berbuat demikian, dan ketika berada di laluan lurus dia lebih laju kerana mungkin Kalex memiliki kelebihan tersebut,” ujarnya.

Hafizh juga mengucapkan terima kasih kepada krew pasukannya kerana bekerja keras untuk mempersiapkan motosikalnya dalam perlumbaan tersebut.

Hafizh kini menghuni kedudukan ke-20 dalam kejuaraan motosikal dunia bagi kelas Moto2 setelah mengumpul 21 mata keseluruhan. – SM

(Visited 60 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button