Politik

Hafiz budak baik, tinggi semangat kemanusiaannya

SEMASA saya bertugas sebagai wakil luar negara di Indonesia bagi akhbar Utusan Malaysia, saya sangat kagum dengan kumpulan pelajar perubatan negara yang melanjutkan pelajaran di sana.

Walaupun berdepan dengan pengajian perubatan yang sangat berat, mereka majoriti mempunyai semangat kesukarelawan yang sangat tebal dan kental.

Saya juga juga seolah-olah “tersihir” turut sama dengan beberapa misi kemanusiaan anjuran mereka.

Ketika inilah saya mengenali para pelajar yang aktif dengan kerja-kerja kemanusiaan termasuklah Hafiezulnizam Hasdin yang kini menjadi calon Barisan Nasional di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Pengalaman yang tak dapat dilupakan ialah membantu membawa pulang para pelajar Malaysia di Yjogjakarta pada Oktober 2010.

Ketika itu bandar Jogja diancam letusan Gunung Merapi mengorbankan banyak nyawa.

Debu dari gunung itu boleh dirasai sehingga jarak 40 kilometer.

Sesiapa yang terhidu secara langsung akan jatuh sakit atau mengalami gangguan penglihatan serta pernafasan.

Justeri atase pendidikan ketika itu Dr. Junaidy Abu Bakar bersama-sama pemimpin pelajar seperti Hafiz dan Nabieh Rahmat bertungkus-lumus menguruskan dokumen dan penerbangan khas untuk menghantar pulang ratusan pelajar di Jogja pulang ke Malaysia.

Ia bukan satu urusan yang mudah ketika lapangan terbang telah ditutup kerana tidak selamat untuk penerbangan dan semuanya perlu diselesaikan dalam satu malam, sebelum situasi menjadi lebih gawat.

Itu hanya satu daripada banyak misi kemanusiaan yang membabit para pelajar Malaysia di Indonesia.

Jadi apabila Hafiz diumumkan sebagai calon di Pengkalan Chepa, saya tumpang bangga dan menganggap penduduk kawasan berkenaan bertuah jika memilih Hafiz seorang pemimpin muda yang penuh dengan sifat kemanusiaan.

Kisah kononnya beliau tidak menamatkan pengajian adalah mainan media sosial untuk membunuh karektor beliau sahaja.

Hafiz tamat pengajian cuma tidak menjalani latihan sebagai doktor pelatih sahaja. Jadi dia tidak boleh bertugas sebagai doktor.

Sebaliknya beliau berniaga dan mempunyai klinik.

Mempunyai klinik dan menjadi doktor adalah dua perkara yang berbeza.

Sesiapa yang ada modal boleh membuka klinik dan menggajikan doktor.

Semalam Hafiz memaklumkan bahawa beliau memang telah menamatkan pengajian dan beliau sendiri telah membuat laporan polis berhubung fitnah yang mengatakan beliau tidak menamatkan pengajian di universiti selain tidak layak menggunakan gelaran doktor.

Beliau berkata, fitnah itu mula tersebar malam semalam dan berlarutan sehingga hari ini menyebabkan dia tampil membuat laporan polis.

“Saya tegaskan di sini dakwaan berkenaan adalah tidak benar sama sekali. Saya belajar di universiti di Indonesia dalam bidang perubatan pada 2004 sebelum menamatkan pengajian pada 2009.

“Saya yakin fitnah berkenaan bertujuan memalukan saya selain membunuh karier saya sebagai calon BN pada PRU-15.

“Malah, fitnah itu juga bertujuan jahat supaya fokus saya hilang sepanjang tempoh berkempen,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata, segala bukti termasuk dokumen sijil pengajiannya sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Saya berharap individu berkenaan dikenakan tindakan setimpal,” katanya.

Walaupun bukan mudah untuk Hafiz menang di kawasan berkenaan kerana penyandang memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti sekitar 15,000, tetapi tidak ada yang mustahil.

Mungkin isu yang tular ini menjadi asbab untuk mengangkat nama beliau dan dikenali oleh para pengundi untuk hadir serta menilai sendiri keperibadian Hafiz.

(Visited 836 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button