Nasional

Eksport halal negara cecah RM40 bilion tahun ini

Eksport produk halal negara dijangka kembali kukuh seperti sebelum ini dengan sasaran mencecah RM40 bilion sepanjang tahun ini kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Senator Datuk Lim Ban Hong.

Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan usaha yang dilakukan oleh MITI, Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan 13 agensi selepas pembukaan sempadan dan ekonomi secara menyeluruh.

Menurutnya, eksport halal negara mendapat permintaan tinggi daripada China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.

Beliau berkata, antara produk halal utama yang dieksport ke luar negara ialah barangan penjagaan badan, farmaseutikal, kosmetik, makan dan minuman serta ramuan halal.

“Sebelum pandemik Covid-19, produk halal negara pernah mencecah eksport RM40 bilion berbanding prestasi pada 2021 kita hanya mencatat pencapaian RM36.3 bilion berbanding RM30.5 bilion tahun sebelum itu.

“Saya percaya dengan usaha yang dijalankan oleh MITI dan HDC ditambah pula ekonomi telah dibuka secara menyeluruh dan pembukaan sempadan negara nilai eksport kita mampu kembali mencecah RM40 bilion menjelang hujung tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Komputer Meja kepada sekolah-sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang sumbangan HDC di Kompleks Penyelaras Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun), Klebang, Melaka di sini hari ini.

Sebanyak 17 buah sekolah menerima 19 unit komputer meja yang turut hadiri Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffien Sahari.

Dalam pada itu Ban Hong berkata, Halal Hub Melaka di Serkam, Jasin, telah menarik pelaburan sebanyak RM153,74 juta dengan pelaburan langsung asing berjumlah RM64.83 juta manakala RM88.91 juta adalah pelaburan langsung domestik.

Menurutnya, bagi tahun 2021, Halal Hub telah menerima pelaburan dengan anggaran nilai pelaburan domestik berjumlah RM26 juta.

Beliau turut menambah HDC akan bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC) yang menawarkan program pensijilan Halal Apprentice selama enam bulan secara percuma.

Katanya, pelajar yang menerima sijil tersebut diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan setakat ni seramai 50 orang telah dilatih melalui program tersebut serta mendapat penempatan kerja di industri halal seluruh negeri ini. – SM

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button