Nasional

Bekas Ketua Biro BH Kuching, Pegawai Khas Menteri KPDNHEP, Hardi Effendi meninggal dunia

Hasrat allahyarham menulis buku pengalamannya membuat liputan MH17

PEGAWAI khas kepada Menteri  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Hardi Effendi Yaacob, 40-an, telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi.

Berita sedih lagi mendukacitakan ini disampaikan oleh rakan setugas beliau di kementerian, Nur Aqidah Azizi menerusi aplikasi WhatsApp media.

Allahyarham Hardi merupakan bekas wartawan Berita Harian dan pernah bertugas selama lebih kurang 14 tahun di Kuching, Sarawak sebagai Ketua Biro Berita Harian.

Mempunyai budi pekerti yang baik, allahyarham meninggalkan seorang isteri, Leany Mokhtar dan dua orang cahaya mata.

Kali terakhir allahyarham bertemu dengan wartawan SUARA MERDEKA ialah pada 2 Disember, baru-baru ini dalam satu tugasan yang diatur oleh beliau secara khusus dan menjemput wartawan dan juruvideo SUARA MERDEKA bagi membuat liputan Sesi Serahan Sijil Pendaftaran Perniagaan Di Bawah Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) Dan Serahan Agihan Zakat Korporat SSM di Nasi Lemak Bujang Dekk’s Mat di Amber Business Plaza, Cheras.

Secara peribadi, mengenali allahyarham Hardi, beliau juga adalah wartawan hiburan di media organisasi tempat arwah pernah bertugas.

Sebagai wartawan hiburan, beliau pernah sama-sama dengan penulis membuat liputan kumpulan Westlife di Singapura.

Menjawat jawatan sebagai Pegawai Khas Menteri KPDNHEP dan juga Pegawai Strategik Menteri, allahyarham memaklumkan bahawa beliau sepatutnya mengikut isterinya bertugas di Eropah tetapi ditangguhkan.

Berita sedih yang diterima, menurut adik ipar allahyarham, Hardi mengadu sakit kepala. Selepas itu, beliau mengalami sawan. Keluarga menghubungi ambulans namun, ketika itu, Hardi sudah tidak sedarkan diri dan petugas medik yang tiba di kediaman arwah di Gombak, Selangor memaklumkan, beliau sudah meninggal dunia.

Allahyarham Hardi Effendi berhasrat untuk menghasilkan sebuah buku yang menceritakan pengalaman beliau membuat liputan pesawat Malaysia Airlines, MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada Julai 2014.

Salam takziah buat keluarga allahyarham Hardi Effendi. Al-Fatihah. – SM

(Visited 785 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button