BeritaPolitik

Rais Hussin di `kapal’ mana?

Komentar

SUDAH lama persoalan kurang enak ini berlegar-legar dalam kalangan kepemimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malahan kebelakangan ini semakin `berbahang’ sehingga singgah di telinga Suara Merdeka petang ini:

“Datuk Dr. Rais Hussin, ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini di pihak mana sebenarnya? Kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau pembangkang?”

Hari ini, sebuah portal menularkan dapatan satu tinjauan dari kajian Emir Research yang diketuai Dr. Rais selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) nya, yang mendedahkan bahawa kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kerajaan PH kini berada pada tahap “maksimum”.

Kajian oleh Emir Research itu juga mendapati majoriti responden sama ada tidak pasti atau tidak bersetuju bahawa kerajaan PH berdaya maju dan negara ini berada di landasan yang betul
atau ekonomi berada pada kedudukan yang kukuh.

Tindak tanduk Dr. Rais yang meragukan dengan sering melontarkan kenyataan-kenyataan berbaur kontroversi dengan kelihatannya tidak cenderung kepada PH terutamanya Bersatu, difahamkan semakin hari ke hari tidak disenangi oleh kepemimpinan Bersatu.

Ogos lalu, beliau yang mendakwa turut memegang jawatan Ketua Biro Polisi dan Strategik Bersatu mengeluarkan amaran bahawa “PH mungkin kalah jika PRU esok’. Dakwa Dr. Rais lagi, PH tidak lagi mendengar suara rakyat, sekali gus boleh menyebabkan kekalahan dalam melawan UMNO-Pas jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Mengambil bahagian dalam forum “Pilihan raya-pilihan raya Kecil Pasca PRU-14: Implikasi pada PRU-15” anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, Dr. Rais turut menempelak kerajaan PH yang katanya “mahukan projek kereta nasional ketiga dan kereta terbang yang agak melucukan kerana masih ada rakyat yang susah”.

Beberapa pemimpin kanan Bersatu ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini, menggelarkan Dr. Rais sebagai `pengacau’ dalam Bersatu.

“Benarkah dia pakar strategis Bersatu? Siapa lantik dia,” kata seorang pemimpin kanan Bersatu kepada Suara Merdeka yang tidak mahu disebut namanya atas alasan ‘letih melayan kerenah budak mentah seperti Dr. Rais’.

Seorang lagi individu yang ada kaitan dengan pejabat Perdana Menteri menyifatkan Dr. Rais ‘agak angkuh dan keterlaluan’.

“Dia (Dr. Rais) perlu banyak belajar lagi dalam berpolitik. Hujahnya (Emir Research) sungguh dangkal memandangkan banyak yang perlu PH perbaiki dalam tempoh setahun setengah ini dari kerosakan negara berpunca daripada kerajaan terdahulu. Saya fikir elok dia keluar parti daripada menjadi `kaki sibuk’ dalam Bersatu,” kata sumber berkenaan.

Emir Research mendakwa, kajian terhadap `prestasi merudum PH’ tersebut dijalankan di antara 5 September dan 10 Oktober terhadap 1,992 responden, dengan margin 3 peratus kesilapan.

Ia dikatakan dijalankan terhadap 65.6 peratus kaum Melayu dan Bumiputera, Cina (28.2 peratus) dan India (6.2 peratus).

Semua soalan berdasarkan penemuan daripada perbincangan fokus berkumpulan seperti bumiputera Sabah dan Sarawak dan Orang Asli, pesawah padi, peniaga dan profesional, belia dan suri rumah.

Beberapa ahli Bersatu yang turut dihubungi Suara Merdeka turut mempersoalkan motif kajian Emir Research itu dikeluarkan setelah hampir dua minggu PH yang diwakili calon Bersatu tewas dengan perbezaan 15,000 undi dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai 16 November lalu.

– SUARA MERDEKA

(Visited 150 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button