BeritaNasionalPendidikan

Guru tunjang “kemenjadian” murid – Raja Muda

GURU-guru menjadi tunjang kepada “kemenjadian” setiap anak muridnya. Maka atas sebab itu, guru harus berbekalkan dengan kemahiran, kepakaran dan kreativiti serta kesungguhan dalam menyantuni anak-anak didik di sekolah.

Usaha secara bersama-sama ini akan memperkasakan lagi penyampaian pendidikan secara berkualiti.

“Oleh itu, dirakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua guru-guru atas kesediaan dalam meningkatkan profesionalisme dengan memberikan penekanan kepada kualiti, produktiviti dan modernisasi secara berterusan, berintegriti dan berhemah,” titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima buku tulisan Dr. Ismail Lutfi Japakiya di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.

Demikian titah Baginda selepas berkenan berangkat menerima kunjungan mengadap oleh Rektor Universiti Fatoni – Thailand, Sheikh Dr. Ismail Lutfi Japakiya di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berharap agar guru-guru terus memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Ini kerana sesungguhnya, komitmen dan dedikasi yang dizahirkan oleh para guru telah meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negeri Perlis tercinta ini,” titah baginda.

Di majlis mengadap tersebut Dr. Ismail turut mempersembahkan beberapa naskhah buku tulisannya kepada Tuanku Raja Muda termasuklah yang bertajuk ‘Sheikh Ismail Lutfi – Penyebar Salam Dari Patani’, ‘Ummatau Wahidah : Dasar Hidup Ahli As-Sunnah Wa Al-Jama’ah – Menyebar Rahmat Allah Ke Alam Sejagat’, ‘Panduan Menghadapi Wabak Penyakit Taun: Coronavirus Covid-19’, ‘Wakaf Pelaburan : Teras Pembangunan Ekonomi Islam Dalam Menyebarkan Rahmat Ke Seluruh Alam’ dan ‘Khusyuk – Asas Kejayaan Hidup’. – SM

(Visited 715 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button