Nasional

Guru perlu terima senario baharu pendidikan global – Raja Muda Perlis

Guru perlu menerima senario baharu pendidikan global akibat penularan pandemik Covid-19 khususnya dalam aspek kemahiran teknologi maklumat.

Terkesan dengan krisis ini, tugasan guru menjadi semakin mencabar baru-baru ini apabila perlu menyesuaikan diri dengan kelaziman kehidupan dan kebiasaan baharu yang termasuklah memerlukan proses pengajaran dilaksanakan secara atas talian.

Ini adalah kerana wabak COVID-19 telah merubah keseluruhan landskap dunia. Tidak pernah berlaku dalam sejarah, semua sekolah terpaksa ditutup sementara disebabkan penularan pendemik ini. Dunia pendidikan juga tidak terkecuali.

Walaupun negara sudah memasuki fasa pemulihan, kesan krisis ini telah terpaksa mengubah amalan pendidikan di Malaysia. Guru-guru kita telah pun ‘terbiasa’ dengan pelantar pembelajaran. Cuma cara bagaimana ianya diaplikasikan selepas ini bergantung kepada kreativiti dan pendekatan yang dijalankan. Mungkin pelbagai kaedah dan teknik dapat digunakan bagi menyantuni anak didik.

Pada masa yang sama juga, cabaran bagaimana untuk memastikan para pelajar di luar bandar yang tidak mempunyai capaian internet dan juga tidak mampu untuk membeli tablet, telefon bimbit, komputer dan sebagainya agar tidak ketinggalan daripada pelajar-pelajar yang lain jika perkara yang sama berulang kembali di masa hadapan memerlukan perancangan rapi di segenap peringkat bermula sekarang dan tidak ditangguh-tangguh.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyertai program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli Khas sempena ‘1 Kurun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (1920-2020)’ sejauh 15km yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Program tersebut disekalikan dengan sambutan ‘2 Dekad DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Bertakhta Sebagai Raja Pemerintah Negeri Perlis’ dan juga ‘2 Dasawarsa Pemahsyuran Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai Raja Muda Perlis’.

Tambah baginda, masyarakat secara umumnya juga perlu bersedia dengan amalan pendidikan yang berbeza dari yang sebelumnya. Pihak Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah-langkah terbaik bagi memastikan sesi pembelajaran dapat dilaksanakan seoptimum mungkin.

Baginda diiringi seramai 100 peserta yang lain sebagai simbolik program telah singgah menyerahkan sumbangan kepada tiga keluarga asnaf terpilih daripada kalangan anak-anak kariah Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis dan Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan, Kuala Perlis sepanjang kayuhan berkenaan. – SM

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button