Nasional

Guru KAFA Selangor tolak suntikan vaksin Covid-19 akan digantung tugas

MANA-MANA guru yang mengajar Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Negeri Selangor yang menolak suntikan vaksin Covid-19 akan berhadapan dengan penggantungan tugas selama dua bulan.

Dalam tempoh dua bulan itu, guru-guru KAFA yang berkenaan mesti mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, demikian pencerahan yang diberi oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, hari ini.

Tindakan yang lebih ekstrem terhadap guru-guru KAFA, menurut Mohd Shahzihan, perkhidmatan mereka boleh ditamatkan serta merta sekiranya guru-guru ini masih tidak melengkapkan vaksinasi Covid-19 sepanjang tempoh penggantungan tugas.

Beliau berkata, tindakan menggantung dan menamatkan serta merta perkhidmatan guru-guru KAFA ini diambil berpandukan ketetapan yang dibuat oleh pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah, mengingatkan perkara sama kepada para pegawai masjid dan jurunikah.


“Ini isu lama berkenaan titah baginda yang mengarahkan guru-guru KAFA wajib ambil vaksin. JAIS juga ada keluarkan pekeliling, semua peluang kita beri,” tegas Mohd Shahzihan.

Katanya lagi, tempoh penggantungan tersebut adalah peluang yang diberikan kepada guru-guru KAFA terbabit untuk melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Bagaimanapun kata Mohd Shahzihan lagi, terdapat segelintir pihak yang enggan mematuhi ketetapan di peringkat negeri Selangor dan hanya mengikut arahan daripada kerajaan persekutuan.

“Jadi, ini tidak bagus sebab mungkin JAIS sudah terlalu berlembut tentang perkara ini (suntikan vaksin Covid-19).

“Kita boleh gantung (tugas guru KAFA) lebih lama lagi perkhidmatan mereka yang degil dan enggan akur tetapi kita tidak mahu kerana ia beri kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya.

Untuk rekod, tahun lepas, dilaporkan seramai 130 guru KAFA di negeri Selangor dipanggil oleh kerajaan negeri untuk sesi penerangan kali kedua susulan keengganan mereka menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi sesi khas dianjurkan JAIS pada September.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sesi penerangan itu membabitkan pakar kesihatan, agamawan dan mufti bagi memberi maklumat tepat berhubung pengambilan vaksin. – SM

 

(Visited 51 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button