Negeri

Guru KAFA, pegawai masjid, jurunikah enggan vaksin tidak dibenarkan bertugas

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin berhadapan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.

Sultan Selangor yang menzahirkan perasaan dukacita terhadap kumpulan itu berkata, tindakan mereka untuk tidak mengambil vaksin Covid-19 boleh membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

“Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar.

“Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid- 19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian.

“Malah Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Negeri Selangor ini adalah di kalangan mereka yang tidak divaksin,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian selepas menerima laporan terperinci daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai maklumat pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan guru KAFA, pegawai masjid dan surau serta jurunikah di Selangor.

“Beta difahamkan seramai 326 orang guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19. Manakala 95 orang guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Sementara itu, seramai 59 orang pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian.

“Manakala, 9 orang jurunikah pula masih belum divaksin dan 6 dikenalpasti enggan menerima vaksin,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin berharap, Jabatan Kesihatan Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah di Negeri Selangor ini.

Baginda turut menegur 268 orang guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan di negeri itu yang turut enggan divaksin.

Tindakan guru-guru terbabit boleh membahayakan nyawa para dan Baginda menitahkan agar pihak berkuasa mengambil perhatian terhadap isu tersebut.

“Sukacita beta mengingatkan bahawa pakar-pakar perubatan telah mengesahkan yang vaksin ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini.

“Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan.

“Beta juga suka mengingatkan bahawa Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan,” titah Baginda.

Justeru rakyat tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Sultan Sharafuddin menyeru seluruh rakyat Selangor supaya mendapatkan suntikan vaksin yang telah disediakan oleh Kementerian Kesihatan untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat disekelilling.-SM

(Visited 386 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button