Mahkamah

Guru hadapi 32 pertuduhan seksual terhadap tujuh pelajar lelaki

Seorang guru sekolah menengah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Teluk Intan atas 32 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar lelaki.

Guru terbabit didakwa melakukan perbuatan tersebut sejak Julai hingga September tahun lepas.

Bernama melaporkan, Mohd Faizal Amir, 32, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Lelaki itu didakwa atas 10 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan 22 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas tujuh pelajar lelaki berusia 14 hingga 16 tahun.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumah warden di sebuah sekolah menengah di Tapah antara 28 Julai dan 28 Sept 2020.

Bagi kesalahan seks luar tabii, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan amang seksual dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14(d) Akta sama.  Kedua-dua pertuduhan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.

Intan Nurul Farena membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM55,000 dengan seorang penjamin atas semua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu, tertuduh tidak boleh mendekati dan mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, serta menetapkan 15 Nov untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Farid Wajdi Hanif.-SM

(Visited 299 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button