Nasional

Guru berperanan wujudkan pendidikan berkualiti – Raja Muda Perlis

Guru merupakan pemangkin kepada usaha melahirkan generasi pelajar cemerlang dan berkualiti dalam semua aspek.

Sebagai pendidik yang bertanggungjawab semestinya menjadi keutamaan untuk sentiasa mewujudkan landasan pendidikan berkualiti sesuai dengan perubahan dan inovasi semasa.

Secara tidak disedari cabaran terbaru guru-guru ialah berhadapan pelajar yang tinggi tahap pengetahuannya. Secara tidak langsung situasi ini memerlukan guru untuk sentiasa mempertingkatkan ilmu dan kemahiran.

Guru perlu menggalas peranan dan tanggungjawab sebagai penggerak atau pengantara penting dalam proses transformasi ke arah keberhasilan dalam bentuk pengaplikasian kreativiti, pembaharuan, modifikasi, kaedah dan sistem bagi penghasilan sesuatu produk baru yang bernilai.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Sesi Taklimat Pendidikan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat Bangunan Canselori Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang baru, Naharudeen Othman.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Rozieana Ahmad dan Naib Canselor UniMAP Prof Ir Ts Kolonel (Kehormat) R Badlishah Ahmad.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra memuji pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang begitu komited sebagai peneraju utama memartabatkan bidang pendidikan di negeri ini. Tahniah juga baginda titahkan kepada semua warga pendidik yang telah memperlihatkan dedikasi dan azam yang tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk terus mempertingkatkan kualiti diri dan seterusnya kualiti pendidikan di negeri ini.

Di akhir majlis yang sama Tuanku Raja Muda Perlis selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis telah turut berkenan menyerahkan surat pelantikan kepada Naharudeen, berusia 50 tahun yang merupakan anak kelahiran Hospital Tuanku Fauziah di Kangar. Beliau yang sebelum ini merupakan Pengetua Cemerlang di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak telah diperkenankan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Yayasan berkenaan mengikut Fasal4(1) Enakmen Yayasan selama empat tahun mulai 20 Julai 2020. Perlantikan ini adalah atas jawatan beliau sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Perlis.

Untuk rekod, YTSP Perlis ditubuhkan dalam tahun 1986 untuk mengekalkan nama dan jasa baik Raja Perlis pada ketika itu, Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Baginda adalah seorang Raja yang berjiwa rakyat dan sangat mengambil berat terhadap kemajuan pendidikan dan peningkatan taraf hidup rakyat baginda.

(Visited 535 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button