Nasional

‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ tema sambutan hari kebangsaan 2023

Esok bakal menyambut hari Kebangsaan yang akan berlangsung di Putrajaya, sambutan ini akan dimeriahkan lagi oleh segenap lapisan Masyarakat demi memperkukuhkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini serta bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, Hari Kebangsaan Malaysia 2023 (HKM2023), signifikannya tahun ini bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 itu, Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, kini ditadbir Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memasuki edisi kelima anjurannya di sini, pelbagai persembahan, pertunjukkan udara dan perarakan akan disajikan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik tanah air.

Sekitar raptai perarakan kemerdekaan 31 Ogos 2023

Acara negara yang penuh gilang-gemilang esok juga akan menterjemahkan konsep Malaysia MADANI yang digagaskan Anwar menerusi pelbagai bentuk dan kreativiti, termasuk persembahan tarian dan nyanyian, aksi akrobatik oleh pasukan keselamatan sehinggalah perarakan kontinjen.

Persembahan Khas Malaysia MADANI selama 30 minit akan menjadi pembuka tirai sambutan tahun ini yang menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung, diadakan selepas acara rasmi iaitu menaikkan bendera Jalur Gemilang dan bacaan ikrar Rukun Negara.

Sekitar raptai perarakan kemerdekaan 31 Ogos 2023 kreadit photo:awanbadai

Irama pukulan gendang daripada 400 pemain gendang pelbagai kaum berserta dengan empat gendang berpusing dikenali ‘Achun Spinning Drum’, yang akan digunakan buat julung kalinya pada sambutan kali ini, dijangka akan mengegarkan Dataran Putrajaya.

Seramai 400 orang, gabungan pemain gendang serta kompang akan bergabung dengan kira-kira 762 penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan 600 pelajar sekolah bagi memeriahkan lagi sambutan.

Dua persembahan ‘wow’ yang sudah pasti akan memukau pengunjung pada persembahan khas itu merupakan acara payung terjun yang dipersembahkan oleh enam anggota Komando VAT69 Polis Diraja Malaysia dan lompatan bermotosikal merentasi 66 motosikal model Royal Enfield oleh pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat iaitu Army Red Warrior.

Berbeza daripada sambutan-sambutan sebelum ini, tahun ini Kontinjen Perpaduan yang terdiri daripada 400 kakitangan pelbagai etnik di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta pelajar universiti mengambil bahagian dalam perbarisan dan perarakan.

Perarakan kontinjen awam terbesar sebagai simbolik penekanan terhadap penyatuan rakyat Malaysia selaras dengan tema sambutan itu akan memperagakan pakaian pelbagai kaum di negara ini antaranya Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli selain pakaian etnik Sabah dan Sarawak seperti Kadazan, Dusun, Bajau, Sungai, Iban, Bidayuh dan Melanau.

Penyertaaan berkenaan adalah di bawah Kontinjen Perpaduan Malaysia MADANI iaitu satu daripada 10 kontinjen yang ada selain Kontinjen Kenegaraan, Kontinjen Ekonomi, Kontinjen Perbankan, Kontinjen Telekomunikasi, Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran, Kontinjen Komuniti, Kontinjen Sukan Negara, Kontinjen Kesejahteraan dan Kontinjen Keselamatan Negara.

Sambutan tahun ini juga tidak melupakan kanak-kanak yang akan hadir apabila watak animasi seperti Ejen Ali, Mechamato, Boboiboy Omar & Hana, Keluang Man dan Tiong Man juga akan trurut serta dalam perarakan bawah Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran.

Tidak ketinggalan enam ekor anjing pengesan daripada unit anjing pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menabur bakti mencari mangsa bencana khususnya tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, tahun lepas, turut akan membuat penampilan khas.

Sementara itu, lebih 100 aset ketenteraan milik ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Angkatan Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga dipertontonkan termasuk treler membawa misil dan meriam, kereta perisai Gempita dan Adnan.

Persembahan formasi udara daripada pesawat dan jet milik TUDM turut akan menggamatkan ruang udara Putrajaya dengan deruan enjin jet pejuang Sukhoi SU-30 dan jet Hornet F/A 18D.

Penyertaan lebih 19,000 peserta acara perbarisan dan perarakan sempena HKM2023 itu akan diakhiri dengan persembahan kumpulan Bunkface yang akan membawa khas lagu Malaysia MADANI secara langsung bersama 1,800 penari, seterusnya disusuli dengan lagu Jalur Gemilang sebagai penutup acara tahunan negara itu.

Orang ramai yang akan hadir esok, digalakkan memakai pakaian batik bagi menunjukkan sokongan padu kepada industri batik tempatan selain menggunakan pengangkutan awam bagi kelancaran perjalanan ke acara itu.

Kreadit Sumber: Bernama

Artikle Berkaitan:>

50,000 saksikan sambutan Hari Malaysia di Melaka

Sambutan Kemerdekaan: Pengunjung dinasihatkan guna pengangkutan awam

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button