
Gunung Kinabalu Kini Ada Cop Pos Eksklusif
Usaha menaik taraf perkhidmatan pos di Gunung Kinabalu oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pos Malaysia dijangka memberi nafas baharu kepada pengalaman pelancong di destinasi ikonik tersebut.
Peti Pos Gunung Kinabalu bukan sahaja berfungsi sebagai kemudahan menghantar pos, malah menjadi simbol komunikasi sehala dari puncak tertinggi Malaysia — sebuah pengalaman yang unik dan bermakna buat pendaki dan pelancong.
Lawatan kerja selama tiga hari oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching sejak 28 April lalu menumpukan kepada usaha promosi semula perkhidmatan pos yang telah ditambah baik, termasuk pengenalan cop pembatalan eksklusif serta poskad edisi terhad yang hanya boleh didapati di Gunung Kinabalu.
Selain aspek pos, sesi lawatan turut melibatkan taklimat daripada syarikat telekomunikasi yang berkongsi kerjasama dalam memperkukuh capaian rangkaian dan komunikasi digital bagi keselesaan pelancong yang mendaki.
Sebagai langkah peningkatan berterusan, aplikasi MCMC Nexus turut digunakan bagi menguji dan menilai mutu perkhidmatan di kawasan altitud tinggi tersebut. Aplikasi itu membolehkan pemantauan dan analisis terhadap pengalaman pengguna secara holistik.
Menurut YB Teo, usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasa infrastruktur komunikasi di kawasan strategik pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Turut hadir pada majlis penutupan lawatan ialah Ahli Parlimen Ranau, YB Datuk Jonathan Yasin; Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya; Ketua Pegawai Pemasaran dan Kelestarian Pos Malaysia, Fiona Liao; Ketua Penolong Pengarah Taman Sabah, Justinus Guntabid; serta wakil daripada CelcomDigi, TM, Maxis, U Mobile dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.