Sukan

Galven Green raih kejuaraan profesional pertama

Kejohanan Golf Piala Alphard

Galven Green meraih kejuaraan golf profesional pertamanya apabila dinobatkan selaku juara Piala Alphard dalam Jelajah Toyota di Kota Seriemas Golf & Country Club di sini hari ini.

Adik bongsu kepada pemain golf profesional terbaik Malaysia, Gavin Green berusia 24 tahun itu bagaimanapun diheret ke saingan play-off selepas terikat dengan catatan 9 bawah par 207 pukulan dengan Paul San.

Dalam saingan play-off yang dramatik Green berjaya membenam birdie bagi membolehkan dia dinobatkan selaku juara menewaskan Paul San untuk menerima hadiah wang tunai RM31,500.

Saingan pada hari terakhir dia berjaya melakukan catatan empat bawah par 68 pukulan untuk saingan tiga hari keseluruhan melakar 9 bawah par 207 pukulan berkongsi kedudukan dengan San.

Saingan terdekat Ervin Chang pula ketinggalan dua pukulan di belakang kedua-dua pemain itu sekadar melakukan catatan par 72 pada aksi terakhir untuk keseluruhan mengumpul 7 bawah par 209.

Green beraksi cemerlang muncul pendahulu dengan catatan 11 bawah par namun dua bogey yang dilakukan di lubang 15 dan 18 menyaksikan dia menamatkan saingan dengan 9 bawah par 207.

Nasib serupa dialami San ketika selesa dengan 10 bawah par namun bogey di lubang ke-16 menyaksikan dia melakukan 9 bawah par 207 terikat dengan Green untuk mengheret ke saingan play-off.

“Saya sangat gembira dan tidak menjangka boleh menang. Ini adalah kemenangan pertama saya sejak menjadi pemain profesional pada 2020.

“Akhirnya saya dapat keluar dari dibayangi kehebatan abang saya (Gavin). Terima kasih kepada keluarga saya Gary dan Vivienne kerana banyak memberi sokongan atas kejayaan hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, Aretha Pan muncul juara bagi kategori wanita selepas menewaskan Genevieve Ling dalam penentuan play-off selepas kedua-dua pemain itu terikat dengan catatan empat atas par 220 pukulan.

Pada penentuan play-off di lubang pertama par-5 Aretha berjaya membenam birdie menewaskan Ling untuk muncul juara membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Itu merupakan kemenangan ketiga buat Aretha yang sebelum ini menjuarai Tun Ahmad Sarji di Saujana Golf & Country pada Mac dan Piala Supra di Mines Resort Golf Club. – SM

(Visited 41 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button