Agama

Guna saluran betul untuk dirikan rumah tangga – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar pasangan yang ingin berkahwin untuk menggunakan saluran yang betul untuk mendirikan rumah tangga bersama yang tersayang.

Perkahwinan yang teratur dan mengikut undang-undang akan menjadikan sesebuah keluarga hidup dalam aman dan harmoni. Ini juga menjadi penyumbang kepada faktor kebahagiaan sesebuah rumahtangga.

Demikian dititahkan oleh baginda ketika berkenan berangkat merasmikan dan seterusnya mengurniakan tauliah-taukiah di ‘Muzakarah Penolong Pendaftar Perkahwinan Orang Islam Negeri Perlis Tahun 2022’ yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jalan Raja Muda, Kangar semalam.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) tersebut disambut oleh Pemangku Pengarah JAIPs, Muhammad Hafeez Abu Seman.

Di kesempatan tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan sekalung tahniah kepada semua penerima tauliah lantikan dengan harapan semoga lantikan dan tugasan yang telah diamanahkan ini, dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab yang tinggi di dalam diri masing-masing di samping sentiasalah menjadikan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai pegangan, panduan dan rujukan.

Menurut Tuanku Raja Muda, sejak negara beralih kepada fasa endemik, baginda difahamkan terdapat banyak isu kekeluargaan yang timbul sehingga meningkatnya angka perceraian. Oleh demikian baginda menyarankan supaya pihak jabatan perlu menempatkan pegawai yang khususnya dari bidang kaunseling kekeluargaan agar membantu institusi kekeluargaan itu menjadi baik dan mengurangkan kadar perceraian di negeri ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mencadangkan agar bagi mengimbangi perubahan dan pertambahan rakyat Islam di negeri ini serta beban kerja semakin hari semakin meningkat, perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak JAIPs perlulah ditambahbaik dengan melatih pegawai serta kakitangan khususnya di Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syariah supaya pengurusan pentadbiran bersama pelanggan dapat diselesaikan dengan segera.

Terdahulu daripada itu diadakan ‘Forum Perdana Ehwal Islam’ bertajuk “Nikah Express : Bahagia Atau Derita?” yang dikongsikan oleh Timbalan Mufti Negeri, Tajul Urus Abdul Halim dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri, Mohd Abu Hassan Abdullah dan dimoderatorkan oleh Ameer Ikhwan Zaini Al-Hafiz.

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button