Nasional

Guna masa terluang untuk tingkat kemahiran baru – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggalakkan masyarakat di negeri ini agar memanfaatkan masa yang terluang bersama ahli keluarga terutama sekali dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Dua ini dengan melakukan aktiviti ‘upcycling’ atau ‘kitar tinggi’ di rumah.

‘Upcycling’ adalah proses mengubahsuai bahan buangan kepada produk yang boleh diguna semula. Sebagai contoh, masyarakat boleh menghasilkan perhiasan pasu bunga dengan menggunakan botol-botol kaca, botol-botol plastik atau tin-tin terpakai dan menghasilkan ‘tee-bag’ dengan menggunakan t-shirt terpakai.

Selain daripada itu, aktiviti ‘upcycling’ ini juga dapat membantu mengurangkan janaan sampah ke tapak pelupusan. Mengikut data, janaan sampah di negeri Perlis yang dihantar ke tapak pelupusan adalah sebanyak 150,000 kg atau 150 tan sehari dan 17.5% daripada sampah yang dibuang ini adalah barang yang boleh dikitar semula serta boleh dijadikan ‘upcycling’.

Demikian titah perutusan baginda yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis setelah dipersembahkan taklimat mengenai penganjuran ‘Pengenalan Awal Program Amal Jariah Melalui Barangan Kitar Semula Di Masjid-Masjid Negeri Perlis’ yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Perlis dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) secara atas talian semalam.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Negeri Perlis, Shamsuharizal Basir memaklumkan bahawa sebanyak 21 buah masjid telah terpilih sebagai perintis kepada pelaksanaan program ini. Kejayaan program perintis ini akan menjadi contoh dan akan diperluaskan kepada masjid-masjid yang lain di seluruh negeri Perlis.

Melalui program ini yang merupakan sebahagian daripada kempen bagi menjayakan inisiatif ‘Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ juga, masyarakat boleh menghantar barangan kitar semula masing-masing di masjid sebagai amal jariah melalui barangan kitar semula. Hasil pengumpulan dan penjualan barangan kitar semula tersebut akan disumbangkan kepada pihak masjid untuk dimanfaatkan melalui aktiviti-aktiviti pembangunan masjid atau membayar bil utiliti di masjid seperti elektrik dan air.

Oleh yang demikian Shamsuharizal menyarankan agar seluruh masyarakat di negeri ini bersama-sama membudayakan amalan kitar semula dan menyokong hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran kitar semula di Malaysia sebanyak 32% pada tahun 2021.

(Visited 325 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button