Nasional

Pemilik Mydin halalkan mangsa banjir ambil barang

PEMILIK rangkaian kedai murah Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menghalalkan mangsa banjir yang mengambil barang dari premisnya di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Datuk Wira (Dr.) Ameer Ali Mydin yang juga Pengarah Urusan Mydin berkata, beliau tidak menyokong perbuatan memecah masuk ke dalam premisnya di Taman Sri Muda seperti yang dilaporkan di media.

Bagaimanapun, beliau memahami dalam keadaan darurat mungkin terdapat mangsa banjir yang tidak mempunyai pilihan selain melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.

“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bangtuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat sebaliknya.

“Bersama kita memanjatkan doa kepada Allah agar mereka semua terselamat dan bencana banjir dan pandemik ini sedia pulih seperti biasa,” katanya dalam satue kenyataan.

Jelas beliau, Mydin Mart Taman Sri Muda turut mengalami kerugian melebihi jutaan ringgit selepas banjir besar melanda kawasan itu Sabtu lalu.

Polis sebelum ini mengesahkan berlaku beberapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor yang sedang mengalami banjir teruk.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1 tengah hari ke 2 petang antaranya membabitkan Mydin, KK Mart, 7-eleven dan pasar raya Gmart, lapor Bernama.

Katanya keadaan terkawal dan elemen cegah jenayah digerakkan dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk memastikan tiada lagi kejadian pecah masuk kedai berlaku di kawasan tersebut.

Beberapa rakaman kejadian berkenaan menjadi tular di media sosial.

Taman Sri Muda adalah antara kawasan paling teruk terjejas akibat banjir di Selangor dengan ramai terperangkap di rumah yang dinaiki air sehingga mencecah bumbung.-SM

(Visited 977 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button